HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Dorong ke sekolah, usaha tok batin ubah hidup anak Orang Asli

-

Asu Dollah bersama pentadbir sekolah sering menganjurkan pelbagai program mendorong anak kecil di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak untuk ke sekolah.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Tok Batin Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak Asu Dollah mahu membantu lebih ramai kanak-kanak Orang Asli ke sekolah bagi meningkatkan tahap akademik mereka. (Gambar Bernama)

HULU SELANGOR:
Melihat bangunan sekolah yang terletak tidak jauh dari rumahnya, Asu Dollah merasakan kanak-kanak di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu kini cukup beruntung apabila tidak perlu melalui pengalamannya sewaktu kecil.

Free Malaysia Today
Asu Dollah.

Masih bermain di mindanya pengalaman berjalan sejauh 2km setiap Isnin hingga Jumaat melalui denai untuk ke sekolah, yang dilakukannya dengan azam untuk mengubah kehidupan keluarga ketika rakan lain mungkin sibuk mencari hasil hutan.

Berkat kegigihannya, Asu, 66, menamatkan pelajaran sehingga peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu dan menyambung legasi bapanya sebagai tok batin yang bertanggungjawab menjaga kebajikan penduduk di kampung Orang Asli itu, sejak 1985.

Namun, di sebalik pelbagai kemudahan, Asu terkilan kerana masih ada penduduk tidak mengutamakan kepentingan pendidikan, dengan tidak bersungguh menghantar anak ke sekolah menyebabkan ramai tidak mempunyai kelulusan akademik untuk merebut peluang kerja lebih baik.

“Sekarang ada ibu bapa hantar sendiri anak mereka dengan motosikal, bas juga ada disediakan ke sekolah pergi dan berambil lagi… saya minta manfaat kemudahan ini habiskan belajar,” katanya ditemui FMT di rumahnya di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, sempena kehangatan kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Bertitik tolak dari kebimbangannya, Asu bekerjasama dengan pentadbir sekolah sering menganjurkan pelbagai program mendorong anak-anak Orang Asli dari suku Temuan Beladas di kampung itu untuk ke sekolah dengan harapan ‘pewaris’ mereka dapat menikmati kehidupan lebih baik pada masa depan.

“Tak betul kata Orang Asli tidak dipedulikan dan tidak diberi kerja (oleh kerajaan) tetapi kena belajar betul-betul supaya ada keputusan pelajaran baik untuk minta pekerjaan baik…peluang ada cuma kena kelulusan akademik.

“Difahamkan ada kuota (sektor awam) untuk Orang Asli cuma bila akademik tak baik susah nak diserap masuk,” katanya menafikan dakwaan Orang Asli sering dipinggirkan oleh kerajaan sejak dahulu.

Free Malaysia Today
Pentas pidato disediakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Abdul Razak yang menyediakan platform kepada anak Orang Asli menunjukkan bakat masing-masing.

Menurut Asu, keperluan mempunyai kelulusan akademik baik itu juga penting kerana Orang Asli tidak lagi boleh berharap kepada penjualan hasil hutan seperti buluh dan rotan kerana ada kekangan dari segi undang-undang.

“Sekarang penduduk sini tak lagi dapat masuk hutan ambil hasil seperti buluh dan rotan kerana perlu mohon permit, Jabatan Perhutanan larang masuk kalau tiada permit,” katanya.

Kunjungan FMT ke Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Razak yang menempatkan 130 murid itu mendapati institusi pendidikan itu cukup lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk empat blok asrama dan kelas, padang yang luas serta ruang pentas untuk aktiviti kebudayaan.

Siah Atun, 45, ibu seorang murid berkata anaknya semakin suka ke sekolah kerana pelbagai aktiviti disediakan pihak pentadbir antaranya kelas tambahan, mini zoo, aktiviti supa dupa ketika musim cuti sekolah.

“Kami juga agak terkejut kerana cikgu di sini sanggup belajar bahasa ibunda kami untuk tarik minat anak-anak datang ke sekolah,” katanya, yang turut berkongsi murid di sekolah itu juga aktif dalam acara sukan seperti sepak takraw dan olahraga sehingga mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Masalah kemudahan asas

tadah air
Penduduk di Bukit Jantung mendapat bekalan air daripada sungai berhampiran yang kadang kala berkeladak apabila hujan.

Menyentuh isu yang masih bersisa, Asu turut menyuarakan harapannya agar kemudahan infrastruktur seperti bekalan elektrik dan air bersih dapat disalurkan segera kepada kira-kira 10 rumah di Bukit Jantung, iaitu salah satu daripada tiga wilayah bawah seliaannya.

“Penduduk di sana guna solar dan generator untuk mendapat tenaga elektrik, air pula dari sungai berhampiran… kadang-kala air berkeladak apabila hujan disebabkan hakisan dari projek berhampiran,” katanya.

Untuk ke perkampungan di Bukit Jantung, perlu melalui jalan curam dan berbukit sejauh 5km, dan FMT ketika dibawa ke puncak bukit diberitahu ada kenderaan yang terpaksa berpatah balik kerana ‘tidak berjaya’ menaiki bukit curam.

Namun, Asu berkata keadaan ketika ini jauh lebih baik kerana jalan ke puncak bukit telah diturap untuk keselesaan 10 keluarga yang tinggal di atas.

“Walaupun jalan kecil, tapi sekarang dah senang, jalan dah berturap… motosikal atau kereta pun mudah untuk lalu, cuma kena pandai kawal kenderaan, silap gaya boleh masuk gaung,” kongsi Asu.

Beliau berharap wakil rakyat yang dipilih pada PRK esok dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di kampung berkenaan sejak 25 tahun menetap di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.