
Beliau bagaimanapun tidak meletakkan suatu garis masa untuk memansuhkan subsidi bahan api.
“Saya akui perkara ini perlu dilakukan, tetapi perlu dilakukan secara bijak,” katanya kepada wartawan Bloomberg Television, Haslinda Amin, di Forum Ekonomi Qatar.
“Bagi saya, yang paling utama adalah bagaimana melaksanakan reformasi ini tanpa menyusahkan golongan miskin,” katanya menjawab soalan tentang tempoh masa rasionalisasi subsidi.
“Kita akan lakukannya pada masa yang tepat,” katanya.
Kerajaan Malaysia menanggung sebahagian besar harga bahan api dan minyak masak demi rakyat, langkah yang dianggarkan menelan kos RM81 bilion tahun lepas.
Anwar cuba menggantikan subsidi yang meluas dengan bantuan bersasar tahun ini, bagi membantu usaha menurunkan defisit Belanjawan 2024, daripada 5% pada 2023 kepada 4.3% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK).
Pada awal penggalnya, Anwar berikrar untuk memperbaiki kedudukan fiskal Malaysia dan mengurangkan hutang kerajaan daripada paras semasa, iaitu lebih 60% daripada KDNK.
Usaha itu akan membantu menarik lebih ramai pelabur ke satu-satunya ekonomi memuncul bertaraf A di Asia Tenggara, dan membantu usaha memacu pertumbuhan kepada 6%.
Walaupun reformasi itu akan menguatkan daya tarikan negara di mata pelabur, ia berisiko menjejaskan populariti Anwar, yang merosot sejak beliau mengambil alih pentadbiran negara pada penghujung 2022, dengan rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan menangani ekonomi meningkat.
Pertumbuhan KDNK reda kepada 3.7% tahun lepas, selepas mencatatkan pengembangan terpantas dalam dua dekad pada 2022.