
Kata guru berusia 30 tahun ini, kejadian itu berlaku apabila dia bersama guru-guru lain tiba di jeti Sekolah Kebangsaan Limpaku Pinang, Limbang yang hanya boleh diakses dengan menaiki bot.
“Saya pernah terjatuh di sungai waktu nak pergi sekolah. Nak naik tangga, kebetulan air sungai surut. Cikgu-cikgu terpaksalah panjat tangga yang tinggi nak naik. Bila panjat itu, bot itu (bergerak) ke belakang sikit. Saya pun terjatuhlah,” kata Liyana yang berasal dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Setiap hari sekitar jam 6.30 pagi, Liyana bersama lapan lagi guru perlu menempuh perjalanan selama hampir sejam dengan menaiki bot dari jeti berhampiran Limbang Waterfront untuk ke sekolah tersebut.
“Biasalah kita cikgu-cikgu dah bersolek. Dah naik bot dan pakai jaket (keselamatan). Bila tengah-tengah perjalanan itu, hujan turun. Ya Allah, solekan rosak. Memang lencun badan kami,” katanya.
Walaupun sering diduga dengan cuaca yang tidak menentu namun Liyana bersama guru yang lain tidak pernah lelah mencurahkan ilmu kepada murid agar mereka boleh melihat dunia di luar daerah Limbang.

“Kalau boleh, sebenarnya nak minta mereka teroka di luar. Jangan hanya terperuk dalam lingkungan Limbang saja. Bagi saya, kita ada banyak pilihan sebenarnya, saya kata kita ada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP),” jelasnya.
Liyana berkata biarpun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang berkhidmat di sekolah itu namun keseronokan berada di perantauan membuatkannya hampir melupakan niat untuk pulang mengajar di Semenanjung.
“Saya memang ada perasaan nak balik. Tapi bila fikir kehidupan di sini, ia berbeza dengan di Cheras. Kalau waktu cuti pada Sabtu dan Ahad, memang pergi berjalan ke Sabah, kadang-kadang pergi ke Brunei. Tak terfikir lagi nak balik. Rasa OK lagi dekat sini,” katanya lagi.

Mula berkhidmat sebagai guru di sekolah itu tiga tahun lalu, Liyana berkata dia lebih senang mengendalikan pengajaran dan pembelajaran di luar kelas bagi menarik minat pelajar.
“Guru ini sebenarnya tak mengharapkan dia semua pelajar mendapat semua ‘A’. Tapi bagaimana dia boleh aplikasikan apa yang dia belajar di sekolah itu untuk diguna pakai, waktu dia dewasa nanti,” katanya.
Meskipun terdapat jurang prasarana dan teknologi di pedalaman, Liyana tetap memberikan yang terbaik buat anak-anak didiknya.
“Saya berharap dapat mencurahkan bakti sebagai pendidik kepada anak-anak murid saya. Saya tak mengharapkan mereka mengingati saya adalah cikgunya. Tapi saya mengharapkan mereka menjadi seorang yang ‘qudwah hasanah’ (teladan yang baik) untuk orang-orang lain.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram