HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

CAAM keluar amaran serangan burung bertambah di lapangan terbang

-

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia menerima 66 laporan serangan burung pada suku pertama 2024, meningkat 45% berbanding tempoh sama tahun lalu.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Norazman Mahmud berkata, pertambahan jumlah penerbangan meningkatkan kemungkinan lebih banyak serangan burung.

PETALING JAYA:
Lonjakan sebanyak 45% dalam serangan burung di lapangan terbang Malaysia mendorong Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan amaran keselamatan untuk pengurus meningkatkan kesedaran berhubung bahaya itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Norazman Mahmud berkata, 66 serangan burung berlaku di pelbagai lapangan terbang di seluruh negara pada suku pertama tahun ini berbanding 47 insiden pada 2023.

Free Malaysia Today
Norazman Mahmud.

“Tempoh ini menyaksikan peningkatan ketara hampir 45% berbanding tempoh sama 2023. Bahaya berlaku apabila pesawat bersentuhan dengan burung semasa berlepas, mendarat atau terbang di udara.

“Terdapat keperluan meningkatkan kesedaran bahaya burung dalam kalangan semua kakitangan daripada pengurusan kepada kakitangan di darat, pengendali lapangan terbang dan pengawal trafik udara.

“Ini akan memastikan pendekatan proaktif dan selaras untuk pencegahan,” katanya dalam amaran keselamatan yang dilihat FMT.

Dengan pertambahan jumlah penerbangan, beliau berkata, kemungkinan berlaku lebih banyak serangan burung turut meningkat.

Untuk menangani perkara itu, pengendali lapangan terbang digalakkan merangka program latihan komprehensif bagi mengemas kini kakitangan berhubung pandangan semasa tentang tingkah laku burung, teknik pengenalpastian dan prosedur laporan betul.

Norazman berkata, pihak berkuasa lapangan terbang perlu menjalin kerjasama dengan agensi pengurusan hidupan liar untuk menerima pakai amalan terbaik dalam kawalan burung dan pengurusan habitat.

Beliau turut meminta mereka meneroka penggunaan teknologi moden seperti sistem radar, laser penghalang dan peranti akustik untuk mengesan burung serta menghalang ia mendekati lapangan terbang.

“Penyelidikan dan pembangunan berterusan dalam bidang ini boleh membawa kepada kaedah kawalan burung yang lebih berkesan.”

Menurutnya, kehadiran burung di lapangan terbang menjejaskan penerbangan dengan ketara, mengganggu pelepasan dan pendaratan, pesawat terpaksa berhenti secara mengejut dalam kelajuan tinggi dan meninggalkan kawasan berturap untuk mengelakkan pelanggaran.

Katanya, meningkatkan kesedaran tentang bahaya burung di lapangan terbang amat penting bagi melindungi pesawat, penumpang dan kakitangan.

“Bersikap proaktif terhadap kesedaran bahaya burung adalah kunci untuk memastikan keselamatan pesawat dan daya tahan industri penerbangan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.