
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata pihaknya menerima makluman berkaitan haiwan liar yang terperangkap dalam longkang sedalam lebih 1.5m itu pada 8 pagi.
“Tujuh kakitangan Perhilitan telah digerakkan ke lokasi kejadian dan pelbagai usaha dijalankan sebelum itu bagi membawa keluar gajah liar dianggarkan berusia enam tahun itu termasuk menggunakan jengkaut bagi membuat lorong gajah untuk keluar.
“Kerja menyelamatkan haiwan ini mengambil masa lima jam dengan bantuan Jabatan Kerja Raya, polis dan syarikat konsesi Belati Wangsa,” katanya ketika dihubungi.
Yusoff berkata gajah betina itu disahkan dalam keadaan sihat sebelum dihalau ke hutan simpan berhampiran untuk kembali ke habitatnya.
Terdahulu, insiden gajah terperangkap dalam longkang tersebut tular di media sosial termasuk WhatsApp menerusi beberapa imej serta video memaparkan haiwan liar itu cuba diselamatkan pihak berkaitan.
Lokasi berkenaan merupakan antara laluan atau kawasan rayau gajah liar yang mendiami Hutan Simpan Amanjaya, Gerik.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram