HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

MB Johor persoal 14 sekolah daif lewat dibaiki

-

Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan untuk membaiki sekolah itu diluluskan tiga tahun lalu tetapi sehingga kini tiada satu pun projek itu siap.

0
Shares
Total Views: 1
Onn hafiz
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi juga menyeru tambahan guru dan sekolah baharu dibina di Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kulai. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Sebanyak 14 buah sekolah dikategorikan sebagai sekolah daif di Johor sudah diluluskan peruntukan untuk dibaiki tetapi selepas tiga tahun tiada satu pun projek itu berjaya disiapkan, kata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Onn Hafiz yang mendedahkan perkara itu ketika penggulungan pada sidang DUN Johor hari ini berkata, sekolah itu antara 19 sekolah dikategorikan sebagai sekolah daif di Johor.

Katanya, sekolah berkenaan berdepan dengan masalah bumbung bocor, kerosakan kerusi meja dan struktur bangunannya tidak selamat untuk digunakan, lapor Bernama.

Adun Machap berkata, 14 sekolah diluluskan peruntukan untuk dibaiki sejak 2021, namun selepas tiga tahun tiada satu pun projek sekolah daif tersebut berjaya disiapkan.

“Di manakah silapnya? Bagaimana perkara ini boleh berlaku, sehingga anak-anak kita yang menjadi mangsa karenah birokrasi. Malah, kita memerlukan tambahan guru dan sekolah baharu terutamanya di kawasan Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kulai.

“Isu ini menggambarkan betapa kritikalnya cabaran pendidikan yang kita hadapi, sehinggakan Pemangku Sultan Johor menitahkan exco pendidikan, pengarah jabatan pendidikan negeri dan Yayasan Pelajaran Johor melaksanakan lawatan kerja penanda aras ke Singapura akhir bulan ini, bagi meningkatkan tahap pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata menerusi pemutihan data tahun lepas, jumlah miskin tegar di Johor, telah menurun sebanyak 39.5% daripada 4,378 ketua isi rumah (KIR) kepada 2,647 KIR.

“Dalam tempoh sama, Majlis Agama Islam Negeri Johor menerima bayaran zakat RM388 juta dan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula diperuntukan RM269 juta.

“Ini bermakna, RM657 juta telah kita miliki untuk membantu mereka yang memerlukan. Melihat jumlah sebesar dan segah ini, Johor tidak sepatutnya lagi mempunyai rakyat yang dibelenggu kemiskinan tegar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.