HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Polis Melaka tawar diskaun saman 50% sempena Hari Belia

-

Tawaran diskaun saman hanya diberikan kepada mereka yang hadir di kaunter trafik di Dataran Pahlawan bermula 8 pagi hingga 5 petang.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Polis berkata tawaran diskaun 50% itu melibatkan semua jenis saman dikeluarkan di seluruh negara.

MELAKA:
Polis menawarkan diskaun saman sebanyak 50% kepada pesalah trafik pada Sabtu dan Ahad ini sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata tawaran diskaun saman itu hanya diberikan kepada mereka yang hadir di kaunter trafik yang akan dibuka di dataran berkenaan bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata, ia melibatkan semua jenis saman dikeluarkan di seluruh negara kecuali kesalahan melibatkan kemalangan, saman berstatus ‘non compoundable’, saman Op Selamat, bicara mahkamah, memotong secara bahaya atau memotong barisan, guna lorong kecemasan, langgar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan ubah suai ekzos.

“Bagi melancarkan urusan serta mengelak beratur panjang, orang ramai dinasihatkan membuat semakan saman melalui portal atau aplikasi MyBayar PDRM terlebih dahulu,” katanya.

Zainol berkata, orang ramai juga dinasihatkan datang sendiri ke kaunter dan tidak menggunakan khidmat pihak ketiga untuk membantu menjelaskan saman bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Sambutan HBN 2024 akan berlangsung tiga hari bermula 24 Mei ini di Dataran Pahlawan dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 25 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.