
Mohamad Suparadi Md Noor yang mengetuai PKR Kelantan dalam rombakan baru-baru ini berkata mereka dibantu pimpinan pusat termasuk Presiden Anwar Ibrahim dalam mengubah persepsi rakyat terhadap parti itu.
Menurutnya, Anwar sebagai perdana menteri tidak pernah menganaktirikan negeri pembangkang termasuk Kelantan dengan meluluskan peruntukan banjir dan kemudahan asas lain.
“Jadi tiada masalah untuk saya memimpin PKR tanpa status wakil rakyat atau memegang jawatan kerajaan.
“Paling penting kena kental kerana bukan mudah nak rampas Kelantan, Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) hanya menang dua kerusi di sini…tapi tak semestinya tak boleh berfunsgsi,” katanya kepada FMT sambil menolak tanggapan PKR di negeri itu berdepan kekurangan pemimpin pelapis.
Baru-baru ini penganalisis politik Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata kekurangan pemimpin pelapis terutama di kalangan wakil rakyat menjadi punca rombakan kepimpinan PKR di beberapa negeri sukar dibuat termasuk Kelantan.
Dalam rombakan minggu lalu, PKR mengumumkan Timbalan Presiden Rafizi Ramli tidak lagi mengetuai Wilayah Persekutuan dan Johor sebaliknya digantikan setiausaha politik Anwar, Azman Abidin di Wilayah Persekutuan, dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh di Johor.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dilantik sebagai ketua di Pahang menggantikan Naib Presiden Amirudin Shari manakala Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud dilantik sebagai ketua PKR Sabah menggantikan Sangkar Rasam.
Suparadi pula menggantikan Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad di Kelantan yang turut digantikan sebagai ketua PKR Terengganu oleh Ahmad Nazri Yusof.
Rombakan itu dibuat di tengah spekulasi yang mengatakan Anwar menerima tekanan menggugurkan ketua PKR negeri berikutan rasa tidak puas hati ketua-ketua bahagian.
Sementara itu, Ahmad Nazri berkata status wakil rakyat atau kedudukan dalam kerajaan bukan ukuran untuk menilai kemampuan seseorang sebagai ketua.
“Berjayanya sesebuah parti bukan terletak kepada jumlah wakil rakyatnya di negeri, sebaliknya kesepaduan dalam menggerakkan kerajaan.
“Bila sistem cantik barulah perjalanan kemas…dari situ boleh mencipta kejayaan termasuk menang Parlimen atau DUN,” katanya.
Rombakan itu dibuat di tengah spekulasi yang mengatakan Anwar menerima tekanan menggugurkan ketua PKR negeri berikutan rasa tidak puas hati ketua-ketua bahagian.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram