
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Lew berkata, operasi itu dijalankan atas faktor keselamatan susulan insiden tembakan di Teluk Darvel dan juga kegiatan jenayah rentas sempadan di lokasi itu.
Katanya, notis pengosongan dikeluarkan kepada komuniti itu dari 2 hingga 4 Mei lalu membabitkan 273 rumah penempatan tanpa izin yang dibina di dalam Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), lapor Sinar Harian.
“Kerja-kerja meroboh dan pengosongan penempatan tanpa izin ini dilaksanakan bermula pada 4 hingga 6 Jun dan sebanyak 138 penempatan tanpa izin dirobohkan yang dibina dalam kawasan panas,” katanya.
Liew berkata, sejumlah rumah dirobohkan sendiri oleh pemiliknya dan ada pemilik yang meninggalkan rumah mereka begitu sahaja.
“Bagaimanapun, menurut sumber polis yang terlibat dalam operasi ini, ada pemilik rumah membakar rumah mereka sendiri semasa ketiadaan pasukan operasi untuk tujuan ditularkan di media sosial dan meraih simpati serta perhatian dari netizen,” katanya.
Semalam, kumpulan hak asasi manusia, Pusat Komas, meminta penjelasan mengenai pengusiran komuniti Bajau Laut di Semporna.
Ia memetik dakwaan NGO Borneo Komrad bahawa operasi itu menyasarkan komuniti Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna, termasuk Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat, dan Pulau Sibuan.
Semua pulau itu terletak di bawah Taman Marin Tun Sakaran.
Menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang harus dipertahankan dalam isu ini, Liew berkata taman marin diwartakan di bawah Enakmen Taman-Taman 1984 Sabah.
“Isu pembukaan hutan di Pulau Bodgaya untuk tujuan pertanian serta pembinaan lebih 200 struktur rumah tanpa izin adalah menjadi satu contoh pelanggaran terhadap Enakmen Taman-Taman,” jelasnya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram