
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata pemimpin kerajaan persekutuan mesti teguh dengan dasar yang akan memberi manfaat kepada negara dalam jangka panjang walaupun ia mungkin tidak popular ketika ini.
“Bermula subsidi bersasar untuk diesel adalah langkah yang tepat. Subsidi mesti diberikan kepada mereka yang memerlukan dan bukan kepada semua orang tanpa mengira status ekonomi mereka.
“Dengan melaksanakan dasar penyasaran ini, kerajaan akan mempunyai RM4 bilion perbelanjaan untuk pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial,” katanya dalam kenyataan.
Mohideen juga menekankan kepentingan memantau pelaksanaannya untuk mengelakkan kebocoran dan penyalahgunaan, serta memastikan subsidi sampai kepada penerima disasarkan.
Beliau juga mencadangkan, unit bantuan khusus di kementerian berkaitan untuk mengendalikan pemantauan dan menangani sebarang masalah atau aduan daripada pihak terjejas.
Mohideen berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga perlu memantau harga barang dan perkhidmatan untuk mengelakkan aktiviti pencatutan oleh peniaga tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi penyasaran subsidi.
Katanya, selepas penyasaran subsidi diesel, Putrajaya perlu meneruskannya dengan subsidi petrol RON95, iaitu penjimatan lebih besar dapat disalurkan kepada kumpulan rentan untuk membantu mereka menguruskan peningkatan kos.
Menurutnya, dana tersebut juga boleh digunakan untuk membina hospital yang lebih lengkap dan menaik taraf infrastruktur penjagaan kesihatan serta meningkatkan pengangkutan awam.
“Ini akan mengurangkan jumlah kereta persendirian di jalan raya, membawa kepada penjimatan tenaga dan pengurangan pencemaran alam sekitar.”
Ahad lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga runcit diesel di Semenanjung dari RM2.15 seliter kepada RM3.35 bermula Isnin.
Kadar itu adalah harga pasaran tanpa subsidi untuk komoditi tersebut, berdasarkan purata bagi bulan Mei 2024. Harga diesel akan disemak semula setiap minggu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram