
Bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu berkata, beliau juga merasa bertuah kerana kerajaan persekutuan memberi jaminan akan membantu untuk menyelesaikan isu tersebut yang sudah lama berlanjutan.
“Perancangan untuk Sungai Bakap, saya nampak beberapa isu dan paling banyak disebut adalah isu air. Bukan saya mahu menjadikan ini isu saya, atau saya nak jadi pemula, saya nak sambung usaha.
“Isu air ini bermula berpuluh tahun, masalah pertambahan perumahan, saiz bekalan air kecil, tak dapat menampung keseluruhannya,” katanya kepada wartawan selepas majlis pengumuman calon PH di Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang malam tadi.
Joohari berkata, beliau hanya menjadi penyambung untuk menyelesaikan isu itu yang sudah menjadi legasi wakil-wakil rakyat sebelum ini termasuk penyandang Nor Zamri Latiff.
“Saya akan sambung legasi Adun sebelum ini, Abang Zam (Zamri) untuk memastikan bekalan air ini dapat diselesaikan, bukan Abang Zam sahaja, sebelum itu juga isu ini sudah diperjuangkan Adun-Adun lain,” katanya.
Zamri dari PAS memenangi DUN Sungai Bakap pada PRK Ogos lalu. Beliau meninggal dunia pada 24 Mei lalu akibat keradangan perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Sungai Bakap pada 6 Julai dengan 22 Jun sebagai penamaan calon.
Joohari yang merupakan anak jati Sungai Bakap dilahirkan di Permatang Pasir Seberang Perai, membesar dan mendapat pendidikan awal di SK Sungai Bakap sebelum melanjutkan pendidikan menengah di SM Penang Free.
Bekas guru itu menetap di Taman Ilmu, merupakan pemegang ijazah kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia.
Beliau berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan pernah berkhidmat di beberapa sekolah di Nibong Tebal sebelum menjadi pensyarah di Institut Aminuddin Baki cawangan Utara di Jitra, Kedah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram