HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Henti dolak-dalik, kembalikan tujuan asal DLP, kerajaan diberitahu

-

Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim berkata tujuan asal pelaksanaan DLP perlu dikembalikan sepenuhnya di sekolah seperti dimahukan ibu bapa.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
DLP adalah program memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

PETALING JAYA:
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) menggesa kerajaan berhenti berdolak-dalik dan mencari alasan berhubung pelaksanaan program dwibahasa (DLP) di sekolah.

Pengerusinya, Noor Azimah Abdul Rahim, berkata tujuan asal pelaksanaan DLP perlu dikembalikan sepenuhnya di sekolah seperti dimahukan ibu bapa.

Katanya, langkah itu wajar lebih-lebih lagi melihat kepada situasi penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar ketika ini.

Azimah
Noor Azimah Abdul Rahim.

“Kembalikan tujuan asal pelaksanaan DLP sebelum situasi penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan bakal pekerja menjadi lebih parah lagi di negara ini,” katanya.

DLP adalah program yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Objektif pelaksanaannya adalah menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris murid melalui peningkatan masa pendedahan bahasa itu dalam mata pelajaran terbabit.

Mengikut amalan sejak 2016, sekolah dibenarkan memilih melaksanakannya namun arahan baharu meminta sekolah memastikan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu atau ibunda sebagai pengantar.

Selain itu, Noor Azimah berkata langkah ibu bapa menghantar anak ke sekolah kebangsaan membuktikan mereka mengakui kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Tetapi beliau menegaskan DLP mampu mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, meningkatkan pengetahuan saintifik serta potensi pekerjaan.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mewujudkan satu sekolah menengah yang beraliran Inggeris di setiap negeri sebagai langkah meningkatkan keberhasilan guru mata pelajaran berkenaan.

“Langkah ini dapat membekalkan kuantiti guru bahasa Inggeris yang berkualiti. Kebanyakan guru bahasa Inggeris kita tidak mempunyai penguasaan yang tinggi kerana mereka dari sekolah kebangsaan beraliran bahasa Melayu.

“Pendedahan pembelajaran bahasa Inggeris yang diterima hanya melalui mata pelajaran ini sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.