
Muhyiddin berkata, kedudukan itu adalah tamparan hebat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Data-data yang dibentangkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) dalam laporannya jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak berada pada landasan ekonomi yang betul.
“Kedudukan daya saing negara merosot dalam semua bidang yang diukur, kecuali infrastruktur,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu, dilaporkan Malaysia jatuh tujuh anak tangga kepada ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, manakala Singapura kekal di tangga teratas.
Malaysia juga jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking tersebut, menurut sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland itu.
Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah daripada Thailand (ke-25) dan Indonesia (ke-27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (ke-52).
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata, buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia ketinggalan di belakang Indonesia dan Thailand dalam ranking daya saing dunia.
“Ini adalah suatu fakta yang pahit untuk diterima kerana Malaysia sebelum ini pernah digelar sebagai Harimau Asia dengan kedudukan ekonominya yang kukuh dan berdaya saing.
“Anwar sepatutnya menjadi lebih tawaduk dan tidak lagi menyombong apabila melihat prestasi Malaysia dalam ranking daya saing dunia adalah lebih baik pada zaman pandemik,” katanya.
Katanya, pada 2020 kedudukan negara berada di tangga ke-27 dan naik ke tangga ke-25 pada 2021 ketika beliau menjadi perdana menteri.
“Ini menunjukkan komuniti perniagaan dan perindustrian antarabangsa melihat Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang lebih baik pada masa itu berbanding sekarang”.
Muhyiddin turut mengkritik sikap sombong Anwar dengan komuniti perniagaan sehingga sanggup mengugut untuk membatalkan lesen mereka jika menaikkan harga atau perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.
“Masakan beliau tidak tahu bahawa kenaikan harga adalah disebabkan kos menjalankan perniagaan meningkat akibat dasar kerajaan menarik balik subsidi bahan api. Akhirnya, rakyat yang menanggung beban.
“Sudah sampai masanya Anwar mengakui realiti sebenar bahawa ekonomi Malaysia tidak bertambah baik di bawah kepimpinannya. Nasihat saya, hentikan beretorik dan urus ekonomi negara dengan cermat dan bijak,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram