
Garis panduan baharu DLP mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelas mengajar matematik dan sains dalam bahasa Melayu di Tahun 1 dan Tingkatan 1, walaupun bertentangan kehendak ibu bapa.
“Semua kita dah minta untuk kita pertegaskan kena pakai dan rujuk garis panduan dan tidak ada masalah.
“Setakat ini, sekolah yang ada dengan pelaksanaan garis panduan itu kita akan turun dan bantu sekolah tersebut untuk melaksanakan garis panduan,” katanya pada sidang media di SK Sungai Bakap.
Ditanya sama ada sekolah berasrama tertentu diberi layanan keutamaan, beliau berkata: “Tak, semua sekolah kerajaan perlu mematuhi garis panduan tersebut.”
Baru-baru ini, Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim mendakwa sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah –dikecualikan peraturan baharu DLP.
Katanya, garis panduan baharu itu juga dengan jelas mengecualikan Sarawak, membenarkan semua sekolah rendah menjalankan DLP sepenuhnya sejak 2020, bermakna bahasa pengantar semua kelas sains dan matematik ialah bahasa Inggeris.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan sebab MCKK dan Kolej Tunku Kurshiah diberi kelonggaran “mengabaikan” peraturan baharu DLP.
Beliau bertanya sama ada sekolah di Semenanjung juga boleh memohon kepada KPM untuk mengetepikan peraturan baharu DLP.
Terdahulu, Fadhlina merasmikan program “Sekolah Pengajar dan Sahabat Bahasa” untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Program itu, yang dibangunkan bersama institut latihan perguruan, menyaksikan pakar dari institut itu dihantar ke sekolah terpilih untuk menambah baik kaedah pengajaran dalam bahasa berkenaan.
Fadhlina berkata, program itu sebahagian daripada dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris yang dilancarkan pada 2011.
Aktiviti di bawah program itu termasuk sesi membaca kritis, majalah bilik darjah, acara bertemakan bahasa dan aktiviti kebudayaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram