HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pemimpin akui PN lemah, peluang tipis pertahan Sg Bakap

-

Pemimpin PN berkata majoriti daripada 40% pengundi bukan Melayu dilihat masih memihak kepada PH manakala undi Melayu dinikmati gabungan itu sudah ‘tepu’.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pemimpin PN berkata gabungan itu lemah kerana tidak dapat menarik 40% pengundi bukan Melayu di Sungai Bakap.

PETALING JAYA:
Seorang pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) mengakui bukan mudah komponen itu memenangi hati pengundi bukan Melayu di DUN Sungai Bakap, yang dikhuatiri menyukarkan peluangnya mengekalkan kemenangan PAS pada PRK 6 Julai ini.

Pemimpin bukan Melayu yang enggan dinamakan itu berkata, majoriti daripada 40% pengundi bukan Melayu dilihat masih memihak kepada Pakatan Harapan (PH), manakala undi Melayu dinikmati PN sudah ‘tepu’.

“Peluang kita agak tipis, bukan kata PH kuat sangat tetapi kita (PN) yang lemah, tak dapat nak tarik 40% pengundi bukan Melayu di sana, undi Melayu pula sudah tepu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kekuatan yang ditunjukkan akar umbi PH dan Barisan Nasional (BN) khususnya Umno di Pulau Pinang juga sedikit-sebanyak menghakis sokongan orang Melayu terhadap PN.

“PH dan BN ada jentera yang kuat di DUN terbabit, tambahan Parlimen juga diwakili oleh seorang menteri PKR,” katanya merujuk Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek yang menyandang menteri pendidikan.

“Situasi berbeza dengan PN apabila kita hanya berharap pada kekuatan jentera PAS, manakala parti bukan Melayu PN seperti Gerakan tiada jentera yang kuat manakala MIPP yang baru saja sertai kita tiada pengalaman,” kata pemimpin itu.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih kosong susulan kematian penyandang daripada PAS Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Dianggarkan 60% daripadanya pengundi Melayu manakala komuniti bukan Melayu mewakili 40% dengan pecahan hampir 23% (Cina) manakala 17% (India).

Pada PRN lalu, Nor Zamri menewaskan Nurhidayah Che Rose daripada PH dengan majoriti 1,563 undi.

PN mencalonkan Naib Ketua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56, manakala PH meletakkan bekas guru Joohari Ariffin daripada PKR.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon Sabtu ini, undi awal pada 2 Julai dan pengundian 6 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.