
Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata idea atau pelan yang diputuskan rakyat itu boleh dipertimbangkan bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang akan berakhir tidak lama lagi.
Katanya, rakyat sudah lama meluahkan pelbagai idea dan keluhan kepada kerajaan dan sudah tiba masanya wakil rakyat daripada kedua-dua pihak melontarkan cadangan masing-masing.
“Sebagai pengguna, tentu mereka mahu pihak yang bertanggungjawab yang perlu berikan idea dan cadangan tentang memajukan pendidikan negara.
“Sebagai rakyat, biar mereka yang pilih idea pihak mana yang lebih baik untuk pendidikan anak-anak mereka,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini yang menyeru orang ramai menyumbang cadangan bagi menghasilkan pelan pendidikan baharu itu.
KPM dalam kenyataan memaklumkan portal cadangan Masa Depan Pendidikan Malaysia 2026-2036 dibangunkan bertujuan memudahkan pengumpulan maklumat dan idea daripada seluruh masyarakat berkaitan hala tuju pendidikan negara.
Proses dapatan cadangan itu bermula 14 Mei lalu hingga 31 Dis ini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata pemimpin politik tidak perlu menunggu tempoh pilihan raya untuk bersemuka atau berdebat mengenai pendidikan, sebaliknya ruang itu boleh dimanfaatkan setiap masa dengan stesen TV menjadi gelanggang untuk percambahan idea.
“Yang penting, biar rakyat dengar idea dan cadangan dari kedua belah pihak. Biar rakyat sendiri tentukan idea dan cadangan siapa yang lebih menyakinkan. Idea pendidikan PH atau PN?
“RTM, TV3 atau Awani boleh jadi hos atau penganjur siaran langsung ini,” katanya yang juga timbalan pengerusi kluster reformasi pendidikan dan modal insan Majlis Profesor Negara.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram