HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pembelian aset luar negara, Covid-19 punca Mara Inc catat kerugian

-

Ketua Pengarah Mara Azhar Abdul Manaf berkata nilai aset yang jatuh mendadak menjadi penyumbang terbesar kerugian terkumpul Mara Inc.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ketua Pengarah Mara Azhar Abdul Manaf berkata pada 2022 dan sehingga Jun lalu, prestasi aset-aset Mara Inc semakin baik dengan kadar sewaan yang meningkat serta kadar penghunian melebihi 90%. (Gambar web Mara inc)

PETALING JAYA:
Pembelian aset luar negara khususnya di Australia dan United Kingdom pada 2012 hingga 2014 antara sebab Kumpulan Mara Incorporated (Mara Inc) merekodkan kerugian terkumpul berjumlah RM286.3 juta dari 2012 hingga 2024.

Ketua Pengarah Mara, Azhar Abdul Manaf berkata pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia pada 2020 hingga 2021 turut menjejaskan prestasi aset-aset Mara Inc.

“Nilai aset-aset tersebut jatuh mendadak dan menjadi penyumbang terbesar kepada kerugian terkumpul
syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 melaporkan Mara Inc merekodkan kerugian terkumpul berjumlah RM286.3 juta pada 2022 ekoran pelaksanaan aktiviti yang kurang cekap.

Mara Inc turut mencatatkan defisit pegangan saham berjumlah RM115.73 juta dan menanggung liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta pada 2022.

LKAN mengesyorkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Mara supaya meningkatkan pemantauan menyeluruh terhadap prestasi Mara Inc.

Azhar berkata segala tindakan sewajarnya telah diambil termasuk dari aspek perundangan serta tindakan susulan oleh Mara dan syarikat bagi menyelesaikan perkara berbangkit itu.

Beliau berkata Mara pada Sept 2015 telah meluluskan pelan rasionalisasi pemulihan Mara Inc dalam memastikan nilai aset meningkat dari tahun ke tahun serta memperkasakan aspek tadbir urus
syarikat ke arah mengurangkan kerugian terkumpul.

“Pelaksanaan pelan ini merangkumi pelunasan hutang-hutang serta rasionalisasi operasi aset Mara Inc di luar negara yang kini telah mula menampakkan hasil. Aset-aset tersebut kini bebas daripada sebarang hutang dengan pihak luar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bermula 2022 dan sehingga Jun lalu, prestasi aset-aset Mara Inc semakin baik dengan kadar sewaan yang meningkat serta kadar penghunian melebihi 90%.

Katanya, aset-aset tersebut menjana pulangan yang baik kepada Mara Inc dan memberi impak
positif kepada nilai aset selepas pandemik.

“Bagi tempoh tiga tahun yang sama, nilai pelaburan hartanah Mara Inc meningkat sebanyak hampir 30% daripada RM170 juta kepada RM215 juta manakala prestasi kewangan juga menunjukkan trend positif dengan merekodkan keuntungan selepas cukai bagi 2022, 2023 dan setakat Mei lalu.

“Ini mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM14.06 juta atau 5% dari jumlah kerugian terkumpul pada 2022 dan membolehkan MARA Inc membuat pembayaran dividen kepada Mara Corp,” katanya.

Azhar berkata pengurusan Mara amat komited dan beriltizam tinggi untuk memastikan segala aspek tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan syarikat berada pada tahap tertinggi agar tidak berlaku sebarang ketirisan, penyimpangan, penyelewengan dan pembaziran wang rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.