HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

‘Aura’ Noh hanya di Tanjong Karang, tak seluruh Selangor

-

Azmi Hassan berkata kekuatan Noh Omar di Tanjong Karang mungkin menjadikan beliau pilihan utama calon jika ada PRK di kawasan itu.

0
Shares
Total Views: 1
Noh Omar
Noh Omar, bekas ahli majlis kerja tertinggi Umno dipecat parti itu pada tahun lalu kerana mensabotaj kempen PRU15.

PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik mengakui aura bekas ketua Umno Selangor Noh Omar yang baharu menyertai Bersatu masih kuat namun kesannya mungkin hanya di Tanjong Karang, Parlimen pernah diwakilinya selama 27 tahun sehingga 2022.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata bekas menteri itu mungkin pilihan utama Perikatan Nasional (PN) jika berlaku PRK susulan permohonan pengosongan kerusi berkenaan selepas keahlian penyandangnya Dr Zulkafperi dalam Bersatu terhenti.

“Seperti Shahidan Kassim yang sinonim di Perlis, Noh juga ada aura setidak-tidaknya sinonim dengan Tanjong Karang walaupun bukan seluruh Selangor.

“Ini (mungkin) peluang Noh menyambung kesinambungan politiknya sebagai wakil rakyat Bersatu,” katanya kepada FMT.

Noh yang digugurkan BN pada PRU15 sebelum dipecat Umno tahun lalu mengumumkan menyertai Bersatu dengan memberi alasan simpati terhadap nasib bekas presiden Umno Najib Razak berhubung permohonan menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas presiden Umno itu memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

Noh pernah menganggotai Kabinet di zaman pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, Najib dan Ismail Sabri Yaakob.

Antara portfolio dipegangnya termasuk kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan serta pertanian dan industri asas tani.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya turut bersetuju penyertaan Noh dalam Bersatu sebagai persediaan untuknya bertanding pada PRK sama ada di Tanjong Karang atau kawasan lain.

“Sebab itulah tempoh hari, beliau menyertai Muafakat Nasional (MN) untuk kukuhkan lagi kedudukan beliau supaya dapat tingkatkan pengaruh politiknya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.