
UIAM menegaskan sebagai universiti awam pihaknya tidak dibenarkan membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan bagi tujuan perbelanjaan operasi.
“Merujuk kepada liputan media baru-baru ini yang menyatakan bahawa UIAM berada dalam keadaan tidak berupaya membayar balik hutang. UIAM ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan,” katanya dalam kenyataan.
LKAN turut menyebut, kedudukan kewangan UIAM secara keseluruhan didapati kurang stabil kerana mencatatkan kurangan terkumpul RM17.06 juta setakat 31 Dis 2022, selain dalam kedudukan tidak berupaya membayar balik hutang semasa dan jangka panjang kerana bergantung kepada geran kerajaan.
Bagaimanapun, UIAM berkata pihaknya diberikan penarafan sijil bersih untuk tiga tahun berturut-turut bermula 2021 oleh juruaudit bebas, KPMG Malaysia, dan ia dapat dibuktikan melalui hasil dapatan audit penyata kewangan.
“Kedudukan kewangan UIAM setakat 31 Dis 2022 menunjukkan kurangan terkumpul sebanyak RM17.06 juta. Ia disebabkan peruntukan besar untuk pelan manfaat persaraan bagi kakitangan UIAM yang akan bersara wajib, selaras dengan kehendak Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS).
“Pada tahun kewangan berakhir 2022, sejumlah RM308.59 juta direkodkan sebagai komitmen keseluruhan bagi pelan manfaat persaraan berkenaan,” katanya.
UIAM menjelaskan, pada awal pelaksanaan pembayaran ganjaran manfaat persaraan, pihak pengurusan berhasrat untuk tidak bergantung kepada geran khas kerajaan, sebaliknya menggunakan sumber dalaman universiti.
“Sebagai makluman, universiti awam lain dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pencen),” katanya.
Namun, dengan peningkatan kadar inflasi, kenaikan gaji berperingkat sejak tahun 2012, serta pola umur kakitangan yang semakin meningkat bagi persaraan, komitmen bayaran tahunan juga turut meningkat.
“Universiti telah membuat kajian dan mendapati sumber dalaman tidak lagi mencukupi untuk membiayai perbelanjaan ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib. Oleh itu, tindakan telah diambil pihak pengurusan dengan mengemukakan kertas kerja kepada Kementerian Kewangan untuk memohon peruntukan tambahan tahunan,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram