HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Lebih mudah jadi populis berbanding usaha jangka panjang, kata Ahli Parlimen PKR

-

Pemimpin kerajaan semasa boleh memilih untuk ‘jadi negarawan atau politikus murahan’, kata Dr Taufiq Johari.

0
Shares
Total Views: 1
taufiq
Ahli Parlimen PKR Dr Taufiq Johari berkata, suatu hari nanti, rakyat akan dapat menilai kerajaan perpaduan menerusi ekonomi negara yang kukuh, hasil pelaksanaan dasarnya. (Facebook pic)

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen PKR Dr Taufiq Johari tampil mempertahankan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berikutan kekalahan parti itu pada PRK Sungai Bakap, yang dikaitkan oleh sesetengah pihak dengan langkah penyasaran subsidi diesel.

Taufiq berkata, kerajaan semasa mewarisi kedudukan fiskal dan keadaan ekonomi yang ‘tenat’ daripada kerajaan terdahulu.

Katanya, pemimpin kerajaan semasa boleh memilih untuk ‘menjadi negarawan atau politikus murahan’.

“Mudah untuk sajikan perkara yang populis dan menang sementara tapi tidak mudah untuk melakukan perkara yang benar demi kesejahteraan jangka masa panjang negara,” katanya di platform media sosial X.

“Jika kalah PRK merupakan harga yang harus dibayar (gabungan perpaduan), maka kita terima dan muhasabah diri demi kepentingan rakyat dan negara. Terus perkukuh kepercayaan dan perhebat penjelasan (dasar kerajaan) kepada rakyat.”

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, dasar yang dilaksanakan Putrajaya mungkin tidak membuahkan hasil dalam tempoh sehari dua, tetapi beliau percaya kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Hasil akhir dari segala usaha ini (suatu hari) akan dinikmati oleh rakyat keseluruhannya dan ketika itu rakyat mula menilai (kerajaan perpaduan) berdasarkan ekonomi yang kukuh,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini berkata, keputusan PRK Sungai Bakap jelas menunjukkan rakyat menolak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini yang menurutnya, membebankan ramai pengguna.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh juga menyindir ‘raja formula’ Rafizi dan mengucapkan tahniah kepada penduduk Sungai Bakap kerana menolak PH.

Sebagai respons, Taufiq menggesa Akmal supaya ‘lebih matang dan ikhlas’ dalam hubungan kerjasama Barisan Nasional dan PH demi kepentingan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.