HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

6 kerusi: Bersih saran Bersatu ke mahkamah

-

Bersih berkata keputusan mahkamah akan menjadi rujukan pada masa akan datang.

0
Shares
Total Views: 1
faisal
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, mahu penambahbaikan bagi mencapai objektif undang-undang antilompat parti. (Gambar fail)

PETALING JAYA:
Badan pemantau pilihan raya menyarankan Bersatu memfailkan semakan kehakiman di mahkamah bagi merungkai keraguan terhadap keputusan speaker Dewan Rakyat tidak mengosongkan enam kerusi bekas Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah.

Memandangkan terdapat pelbagai tafsiran tentang peruntukan berkenaan, Bersih berkata keputusan mahkamah sebagai sebuah institusi yang bebas berintegriti, serta diyakini akan menjadi rujukan pada masa akan datang.

“Bagi memastikan isu penguatkuasaan ‘akta antilompat parti’ ini dirungkaikan, adalah lebih baik mahkamah diberi ruang untuk membuat tafsiran undang-undang untuk menetapkan duluan dan rujukan bagi kes-kes mendatang,” kata Pengerusi Faisal Abdul Aziz kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyeru protes jalanan bagi membantah keputusan speaker.

“Bagi saya jalan ke hadapan yang harus dilakukan Bersatu adalah dengan memfailkan semakan kehakiman di mahkamah untuk memastikan mereka mendapat keadilan seperti yang dinyatakan,” katanya.

“Melihat ke hadapan penting untuk kita lihat apa penambahbaikan yang boleh kita lakukan di masa hadapan agar objektif ‘akta’ ini dapat tercapai.”

Seruan Wan Ahmad Fayhsal menyusul keputusan Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Selasa lalu, Johari memutuskan enam Ahli Parlimen terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi mereka berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), serta Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa).

Berhubung status Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Johari menjelaskan beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan dalam kes saman wakil rakyat itu ke atas Bersatu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan keputusannya di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee menyerahkan notis kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia, selain terus menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.