
Beliau berkata kenyataan fitnah berhubung isu pengecualian cukai yang dibuat bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak berasas dan tanpa bukti sokongan.
“Sebelum saya memulakan tindakan terhadap defendan (Muhyiddin), saya memberi peluang kepada defendan dengan mengeluarkan beberapa kenyataan supaya menarik balik dan memohon maaf berhubung kenyataan berunsur fitnah itu.
“Bagaimanapun, defendan gagal dan enggan berbuat demikian, menunjukkan betapa angkuhnya beliau. Ia menyebabkan reputasi dan imej saya sebagai ahli politik terjejas teruk disebabkan kenyataan fitnah berkenaan,” katanya membacakan penyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes samannya terhadap Muhyiddin berhubung pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
Lim berkata kenyataan fitnah itu tersebar meluas melalui akaun Facebook defendan yang menarik sejumlah besar pembaca dan komen serta disiarkan pelbagai akhbar dan portal.
Mengenai soalan tambahan peguamnya Guok Ngek Seong, Lim berkata defendan juga menyentuh isu 3R (kaum, agama dan diraja) yang boleh menyebabkan ketidakharmonian.
“Isu itu membabitkan pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary yang merupakan pertubuhan kebajikan Islam.
“Saya tidak mengeluarkan arahan pembatalan tersebut dan tindakan defendan cuba mengalihkan perhatian siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pertuduhan terhadapnya mengenai projek Jana Wibawa.”
Lim pada 27 Mac 2023 memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan mengenainya diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga mendakwa kenyataan fitnah itu bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya, dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri mengenakan cukai serta penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak patut dikenakan cukai.
Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain bersambung esok.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram