
“Kalau hanya diberikan denda RM100 kemudian yang terlibat itu keluar dari mahkamah dengan senyum selamba, itu tentu menghiris perasaan keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita.
Saifuddin berkata perkara ini akan dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri, yang akan bermesyuarat esok.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan meneliti keperluan menggubal undang-undang bagi menangani buli siber.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan isu buli siber semalam, yang dipengerusikan beliau, Saifuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, dan Menteri Digital Gobind Singh.
Antara undang-undang sedia ada terkait buli siber ialah Seksyen 503 dan 509 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang; serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,
Semalam, Fahmi kecewa dengan denda RM100 dikenakan terhadap seorang wanita yang terbabit dalam kes buli siber pencipta kandungan di TikTok, A Rajeswary atau dikenali sebagai Esha.
P Shalini didenda Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah kerana berkelakuan menghina dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Esha, 29, ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis terhadap dua individu yang didakwa memfitnahnya di TikTok.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram