HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Dewan Negara lulus 5 RUU promosi Pulau 1, Forest City

-

Antara RUU yang diluluskan termasuk RUU Kastam (Pindaan) 2024, RUU Eksais (Pindaan) 2024 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2024.

0
Shares
Total Views: 1
forest-city
Status Pulau 1, Forest Citu sebagai pulau bebas cukai dijangka berpotensi menjana limpahan ekonomi yang akan merangsang ekonomi setempat, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR:
Sidang Dewan Negara hari ini meluluskan lima Rang Undang-Undang (RUU) bertujuan mempromosikan Pulau 1, Forest City di Johor bagi meningkatkan perkembangan kegiatan ekonomi di kawasan itu.

RUU yang diluluskan ialah RUU Kastam (Pindaan) 2024, RUU Eksais (Pindaan) 2024; RUU Zon Bebas (Pindaan) 2024; RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2024; dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024.

RUU Kastam (Pindaan) 2024 bertujuan memperuntukkan bahawa Pulau 1 tidak lagi menjadi sebahagian daripada kawasan utama kastam, sama seperti Labuan, Langkawi, Tioman dan Pangkor, dengan memasukkan peruntukan cukai khas ke dalam Akta Kastam 1967 (Akta 235).

Kesemua RUU tersebut diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dikemukakan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Terdahulu, semasa penggulungan perbahasan RUU Kastam, Lim berkata, Pulau 1 ialah pulau tambak yang diwartakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan dihubungkan dengan sebuah jambatan sepanjang 600m.

“Pulau 1 termasuk dalam kawasan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura yang mana inisiatif ini dilihat akan meningkatkan daya saing dalam sektor ekonomi, memacu pertumbuhan mampan serta mengukuhkan infrastruktur yang akan memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat.

“Status Pulau 1 sebagai pulau bebas cukai dijangka berpotensi menjana limpahan ekonomi dari negara jiran yang memberi kesan kepada peningkatan ekonomi kawasan setempat dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor yang akan dibangunkan seperti hospitaliti, kewangan dan peruncitan,” katanya.

Mengulas isu penguatkuasaan, Lim berkata, antara langkah keselamatan yang akan dilaksanakan adalah kawasan Pulau 1 akan dipisahkan dengan kawasan utama Jabatan Kastam dengan mendirikan pagar setinggi 3m dengan hanya satu pintu masuk dan keluar ke kawasan tersebut.

“Pihak kastam juga akan merekodkan pergerakan keluar masuk kenderaan menggunakan sistem berteknologi tinggi serta menyediakan komunikasi yang jelas dan notis pemberitahuan di pintu masuk kepada pelawat semasa berada di Pulau 1.

“Pengunjung yang keluar dari pulau itu menuju ke Malaysia perlu mengemukakan kepada kastam apa-apa resit, invois atau dokumen yang membuktikan mereka berada tidak kurang 48 jam di dalam Pulau 1,” kata beliau.

Dalam pada itu, Lim turut menegaskan, menerusi pindaan berkenaan, produk rokok, tembakau termasuk rokok elektronik tidak termasuk dalam barangan yang dikecualikan cukai di Pulau 1.

“Buat masa ini, hanya empat barangan yang akan dikuatkuasakan pengecualian cukai, iaitu minuman keras, kosmetik, minyak wangi dan coklat,” tambahnya.

Sidang Dewan Negara bersambung Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.