
Peguam Fahmi Abd Moin berkata demikian ketika prosiding hari pertama, sebutan semula kes pengabaian terhadap kanak-kanak autistik itu membabitkan dua anak guamnya, Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29.
Beliau berkata, merujuk kepada pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya pada 13 Jun lalu, nama kanak-kanak seperti dicatatkan ialah Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Katanya, satu keputusan pembetulan daripada data kelahiran telah dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, melalui Ismanira yang membetulkan maklumat dalam daftar kelahiran Zayn Rayyan, yang mana nama anak sulung mereka dipinda.
“Saya kemukakan salinan sijil kelahiran baharu, yang diterima pada 4 Julai lalu,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Syahliza Warnoh, menurut Sinar Harian.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mengesahkan menerima salinan sijil lahir tersebut.
“Memandangkan dokumen ini baru diserahkan kepada pendakwaan pagi ini, kami mohon perkembangan berhubung pindaan tersebut, dimaklumkan pada prosiding akan datang,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Syahliza meminta pendakwaan menyemak perkara itu terlebih dahulu jika terdapat sebarang perubahan.
Pada 13 Jun lalu, suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai, pada 12 tengah hari, 5 Dis 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ia berserta tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram