HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Operasi benih awan di Kedah, Perak mula esok

-

Proses pembenihan awan akan dilakukan selama tiga hari berturut-turut bagi tingkat paras air di Empangan Muda dan Empangan Bukit Merah.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44%, manakala Empangan Bukit Merah, 15.25%. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan akan melaksanakan operasi pembenihan awan di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut, bermula esok.

Beliau berkata, operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.

Merujuk kepada data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada Jumaat, Zahid berkata takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44%, manakala Empangan Bukit Merah, 15.25%.

“Usaha ini satu daripada usaha kerajaan menangani impak fenomena cuaca panas dan monsun barat daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024,” katanya menerusi kenyataan.

Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), berkata operasi itu dilaksanakan atas permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Pelaksanaan adalah menerusi penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dan tentera udara.

Zahid berkata, bekalan air dari Empangan Muda dialirkan ke Empangan Pedu, Kedah bagi keperluan domestik, industri dan pengairan padi.

Beliau berkata, tanaman padi kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia dengan keluasan 100,641.19 hektar terdiri daripada 81,606.66 hektar di Kedah dan 19,034.53 hektar di Perlis.

Sementara kawasan tanaman padi di Kerian, Perak yang menerima sumber air dari Empangan Bukit Merah pula merupakan jelapang padi ketiga terbesar negara dengan keluasan 20,326 hektar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.