
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata, tidak timbul isu kononnya Bersatu ketandusan calon kerana keutamaan parti adalah mencari calon terbaik.
Faizal berkata pemilihan bekas timbalan ketua pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon PN di PRK Nenggiri itu juga direstui pemimpin Bersatu dan PAS.
“Ini calon Bersatu bertanding guna logo PAS, beliau (Rizwadi) mewakili PN, ia tak jadi isu. Semua pimpinan Bersatu, PAS, baik di bahagian, negeri, pusat semua setuju beliau mewakili PN,” katanya dalam sidang media selepas majlis pengumuman calon PN di Renok, Gua Musang.
Katanya, Rizwadi menyertai Bersatu baru-baru ini.
Terdahulu Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud mengumumkan Rizwadi, 41, yang juga bekas pegawai tentera laut sebagai calon Bersatu yang akan mewakili PN itu bagi menghadapi PRK Nenggiri.
Rizwadi merupakan anak tempatan Nenggiri dan pernah memegang jawatan bekas timbalan ketua pemuda PAS Gua Musang sebelum diumum menyertai Bersatu.
Mengulas lanjut, Faizal atau lebih dikenali dengan panggilan Peja berkata, pemilihan Rizwadi juga mengambil kira jumlah pengundi di Nenggiri majoritinya orang muda.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram