
Ketuanya Ahmad Nawfal Mahfodz berkata ketika ini tidak timbul sebarang isu melibatkan perkara berkenaan di Johor, sambil menambah masih banyak ruang perbincangan boleh dicapai dengan Pemuda Gerakan.
“Apapun kalau rasa itu pendirian yang menguntungkan dia, mungkin dia akan nampak kesannya apa nanti, pada kami, kami tak ada masalah.
“Tapi kami rasa kenyataan itu terburu-buru,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Johor Teo Jin Wei yang mengisytiharkan putus hubungan dengan Pemuda PAS negeri itu.
Hari ini, media berbahasa Cina Oriental Daily melaporkan Teo berkata Pemuda Gerakan Johor hanya akan menjalinkan kembali hubungan dengan sekutunya jika mereka memohon maaf kepada masyarakat Cina dan menarik balik serangan dalam isu tajaan syarikat arak di sekolah.
Nawfal berkata pihaknya enggan berbuat demikian kerana pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jelas menyatakan pendanaan sedemikian tidak dibenarkan.
“Kami tak akan minta maaf kerana tiada keperluan pun kami minta maaf, paling penting semua, bukan hanya Gerakan, semua masyarakat umum pun tahu perkara ni ada dalam perundangan dan pekeliling KPM keluarkan.
“Kita Kembali kepada undang-undang. Kenapa perlu cetuskan rasa seperti minta maaf kerana kita ikut perundangan, jadi memang prinsipnya kami tak akan kerana tak ada keperluan minta maaf,” katanya yang juga ketua Pemuda PN Johor.
Dua rakan dalam PN itu saling berbalas kenyataan berhubung isu dana sekolah apabila Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pada Ahad lalu, menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap Gerakan dan tidak menolak kemungkinan memutuskan hubungan berhubung sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina.
Ia susulan kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau sehari sebelum itu yang menegaskan KPM tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah Cina.
Dominic mengulas keputusan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah, antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar serta mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.
Bagaimanapun, Kabinet akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
Kenyataan Fadhli itu kemudiannya disambut Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong yang menyatakan kesediaan parti itu keluar PN dan menegaskan usaha menyokong sekolah Cina mengumpul dana di sebalik ancaman sekutunya.
Menyusuli kenyataan itu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya tiada halangan jika Gerakan ambil keputusan keluar PN kerana setiap parti ada hak dan pendirian.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram