HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

5 Sept permohonan jamin kes DSP bunuh pelajar

-

Pendakwaan memohon satu tarikh bagi memfailkan hujahan balas untuk permohonan Mohd Nazri Razak yang berpangkat deputi superintendan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pegawai kanan polis Nazri Abdul Razak didakwa atas tuduhan membunuh Zaharif Affendi Zamrie pada 15 Dis tahun lalu. (Gambar Bernama)

IPOH:
Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Sept depan untuk mendengar permohonan jaminan seorang pegawai kanan polis, yang didakwa membunuh seorang pelajar sekolah dengan melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

Hakim Mahkamah Tinggi GSP Bhupindar Singh menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh bagi memfailkan hujahan balas untuk permohonan berkenaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bagi permohonan itu semalam, dan hakim kemudian mengarahkan hujahan balas difailkan dalam masa dua minggu.

Semasa sebutan kes itu pada 1 Julai lepas, Bhupindar mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan masing-masing.

Disember lepas Mohd Nazri Razak, 44, didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari pada 15 Dis.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pegawai polis berpangkat deputi superintendan itu kemudiannya memfailkan permohonan jaminan agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Mei lepas, Nazri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, dan hakim menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari bermula 4 Nov ini hingga 17 Jan tahun depan.

Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Afzainizam, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen dan Cindy Wong.

Turut hadir peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Amira Najwafitri Amir Arif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.