
“Setakat ini tiada lagi,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada beliau menerima sebarang notis atau tindakan susulan berhubung perkara itu.
Jika melihat kepada Perlembagaan Persekutuan, katanya, keputusan speaker Dewan Rakyat dalam hal-hal yang berhubung Dewan adalah muktamad.
Johari bagaimanapun berkata, sesiapapun berhak mengambil tindakan mahkamah kerana itu hak setiap rakyat negara ini.
“Jadi bagi saya itu hak dia (Bersatu), dia boleh gunakan tetapi saya belum dengar lagi. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (Muhyiddin Yassin), mereka (kata) akan (ambil tindakan susulan).
“(Tetapi) saya tidak mahu sentuh (perkara tersebut), itu hak masing-masing, (sebagai rakyat), dia boleh buat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke DUN Perak hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin berkata, Bersatu memutuskan mengambil langkah susulan dengan melantik beberapa pakar perundangan bagi mengambil tindakan sewajarnya dalam menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Bersatu.
Sebelum itu, Muhyiddin menzahirkan kekecewaan dengan keputusan Johari menyatakan tidak berlaku kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen yang dipecat parti itu.
Berhubung gesaan PN agar kerajaan segera memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi mengambil ketetapan tegas dalam konflik membabitkan nyawa dan masa depan Palestin, Johari berkata, pernyataan mengenai isu itu telah pun dilakukan Dewan Negara pada Khamis lepas.
“Kejadian berlaku dengan pantas, terus kita ambil inisiatif untuk menteri luar beri penerangan khas di Dewan Negara,” katanya.
“Malah semalam himpunan di Axiata melibatkan jumlah besar orang yang juga memohon pemimpin berucap, dan saya juga turun menceritakan apa yang berlaku sebab sayalah anak Malaysia yang terakhir berjumpa dengan Ismail Haniyeh.”
Menteri Luar Mohamad Hasan dalam pernyataan di Dewan Negara berkata, pembunuhan ketua biro politik Hamas itu mempunyai beberapa implikasi yang amat besar terhadap kestabilan dan keamanan global, mewujudkan ancaman tercetus peperangan serantau di Timur Tengah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram