HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Calon Bersatu Nenggiri ‘Hang Jebat’ sebenar, Puad bidas Nik Abduh

-

Ahli MKT Umno berkata ‘Hang Jebat’ adalah pengkhianat dan gelaran itu sepatutnya ditujukan kepada calon Bersatu di Nenggiri kerana keluar PAS dan masuk Bersatu.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ahli MKT Umno Puad Zarkashi berkata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz sepatutnya menggelar calon mereka ‘Jebat’ kerana keluar parti dan menjadi calon Bersatu.

PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno berkata gelaran ‘Hang Jebat’ diberikan kepada Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis seharusnya ditujukan kepada calon Bersatu di Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Puad Zarkashi, berkata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz sepatutnya menggelar calon mereka ‘Jebat’ kerana keluar PAS dan menjadi calon Bersatu.

“Nik Abduh sebenarnya salah. Sepatutnya calon Bersatu di Nenggiri yang digelar Jebat kerana dia keluar PAS untuk jadi calon Bersatu. Hatta dia menderhakai semangat akta antilompat parti,” katanya di Facebook.

Rizwadi adalah ahli PAS yang juga bekas timbalan ketua Pemuda Gua Musang sebelum menyertai Bersatu mewakili parti itu pada PRK Nenggiri 17 Ogos ini.

“Kalau ikut buku Sejarah Melayu…Jebat seorang penderhaka,” kata Puad merujuk tindakan Nik Abduh melabel Jailani sebagai ‘Hang Jebat’ kerana tekadnya menyertai PAS daripada Umno.

Nik Abduh, bekas Ahli Parlimen Bachok dan Pasir Mas mendakwa tindakan bekas exco Melaka yang pernah bersama PKR itu sebagai ‘satu sejarah dalam politik negara’.

Bulan lalu, PAS mengumumkan Jailani diterima sebagai ahli parti itu pada Jun 2023 yang menimbulkan persoalan kerana setakat 9 Sept tahun lalu media melaporkan Jailani sebagai ahli Umno, apabila lembaga disiplin parti mengesyorkan beliau digantung keahlian.

Puad menambah tidak mustahil Jailani akan derhaka kepada PAS jika parti itu membantu kos mahkamahnya selepas Umno menuntut RM100 juta kerana melompat parti.

Jailani menang pada PRU14 atas tiket PKR dan beliau antara empat Adun Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau dilaporkan dipecat PKR sebelum menyertai Umno dan bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 Nov 2021. Jailani bagaimanapun digantung keahlian Umno selama enam tahun seperti syor lembaga disiplin pada September tahun lalu kerana menyertai aktiviti pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.