![Norza Zakaria](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F06%2Fe8841c09-norza-zakaria-bernama-230624.webp&w=3840&q=75)
Ahli keluarga Norza dilihat menemani beliau di satu acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024, sambil warganet berkata jurulatih pemain badminton tertentu dan kakitangan sokongan tidak diberi kad akreditasi.
Walaupun MOM menjelaskan bahawa pegawai kanan diberi kad akreditasi yang membolehkan mereka membawa orang jemputan ke Sukan Olimpik – tidak sama dengan akreditasi yang diberikan kepada kontinjen Malaysia termasuk jurulatih dan kakitangan sokongan – Norza terus dikritik kerana membawa keluarganya.
“Ini tidak adil. Saya akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan keluarga saya,” Norza beritahu FMT.
“Saya melakukan kerja ini secara pro-bono, dan apa yang saya dapat sebagai balasan? Budaya (kritikan) seperti ini memalukan… Malaysia hanya akan kehilangan lebih ramai orang yang secara sukarela membantu sukan.
“Keluarga saya ikut saya ke acara badminton selama bertahun-tahun, dan saya tanggung semua perbelanjaan mereka.”
Difahamkan bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menyediakan kad akreditasi tambahan untuk para presiden dan setiausaha agung setiap jawatankuasa Olimpik kebangsaan, yang digunakan oleh Norza.
Sumber yang dekat dengan perkara ini berkata adalah tidak adil pihak tertentu masih mengecam Norza selepas penjelasan MOM, dan menambah penggiat sukan sedia maklum bahawa pas akreditasi bagi acara besar, seperti Olimpik, tidak boleh ditukar ganti.
Sumber itu juga memaklumkan bahawa Norza, yang menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 2017, tidak diberi pengiktirafan seadilnya dalam hal membangunkan sukan itu di negara ini.
Pasukan badminton menang dua pingat gangsa di Paris menerusi Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), manakala Pearly Tan-M Thinaah layak ke separuh akhir beregu wanita.
Regu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melangkah ke suku akhir manakala cabaran sukar menanti Goh Jin Wei di pusingan pertama perseorangan wanita.
Norza sebelum ini mengumumkan beliau mahu melepaskan jawatannya di BAM pada Disember 2023, malah beliau menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz sebagai pengganti.
Beliau bagaimanapun diyakinkan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk bertahan bagi Sukan Olimpik Paris, yang akan berlangsung sehingga 11 Ogos.
“Saya sudah tujuh tahun menerajui persatuan ini, tetapi terjerumus pula ke dalam kemelut ini (kontroversi tentang kad akreditasi),” kata Norza.
“Saya bawa negara menjadi tiga teratas, empat teratas (negara badminton) di dunia. Saya harap presiden akan datang dapat meningkatkan lagi badminton Malaysia.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram