HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Bekas mufti N Sembilan meninggal dunia

-

Mohd Yusof Ahmad meninggal dunia pada usia 79 tahun dan sebelum ini menghidap kanser hati.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Mohd Yusof Ahmad dilantik mufti Negeri Sembilan pada 2009 dan bersara pada 2023. Allahyarham akan dikebumikan di Makam Perkuburan Islam Tuan Haji Said, Sikamat, awal pagi esok. (Gambar Bernama)

SEREMBAN:
Bekas mufti Negeri Sembilan, Mohd Yusof Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Taman Marida, Senawang, 7.43 malam tadi pada usia 79 tahun.

Menantu Allahyarham, Danial Farhan Dolmat berkata ayah mentuanya sebelum ini menghidap kanser hati dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

“Ayah mentua saya koma pada 3.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di hospital…Allahyarham pergi dengan tenang selepas dibawa pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui.

Danial Farhan berkata, jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Kariah Taman Marida sebelum dibawa ke Masjid Negeri untuk disolatkan dan dikebumikan di Makam Perkuburan Islam Tuan Haji Said, Sikamat awal pagi esok.

Allahyarham dilahirkan pada 7 Feb 1945 di Air Mawang Johol, meninggalkan seorang balu, Pahariah Jamaludin dan enam anak yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan serta 20 cucu.

Yusof ialah mufti Negeri Sembilan keempat yang dilantik pada 2009 dan bersara pada 2023.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Terima kasih atas segala sumbangan dan bakti sepanjang perkhidmatan sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Semoga roh beliau diampuni dosanya serta diletakkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam catitan di Facebook.

Jabatan Mufti Negeri Sembilan menerusi hantaran di Facebook turut merakamkan ucapan takziah buat keluarga.

“Sesungguhnya kami, warga Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan menjadi saksi terhadap segala kebaikan dan jasa Almarhum sepanjang hayatnya dan amat berdukacita atas kehilangan yang tiada galang gantinya ini,” menurut catitan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.