HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

PuTERA35 beri anjakan besar pembangunan Bumiputera

-

Perdana menteri berkata Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 akan memacu agenda Bumiputera ke tahap lebih baik.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 membawa bersama penyertaan seluruh rakyat tanpa meminggirkan mana-mana suku kaum atau wilayah.

PUTRAJAYA:
Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) diperkenalkan sebagai anjakan besar dalam membawa pembangunan Bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata selaras peredaran masa negara memerlukan satu pelan baharu yang akan memacu agenda Bumiputera ke tahap lebih baik serta jelas.

“Negara harus dipacu dengan tahap kelajuan yang lebih meyakinkan dan dalam masa sama, negara masih bertapak kepada kenyataan bahawa pemacuan ini tidak harus meminggirkan mana-mana pihak.

“Kerangka pemikiran bahawa pemacuan ekonomi itu harus bersama dengan penyertaan seluruh rakyat tanpa meminggirkan mana-mana suku kaum atau wilayah,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan PuTERA35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

PuTERA35 diperkenal bagi mengangkat darjat dan martabat Bumiputera agar sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani iaitu memperkasa rakyat serta dijajarkan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) yang akan membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Ia menggarap tiga teras utama iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.

Pelan itu juga menggarap 12 pemacu dan 132 ikhtiar dalam memperkasakan lagi agenda Bumiputera.

Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan PuTERA35 tidak sesekali mengetepikan kepentingan suku atau kaum lain dalam negara.

Sementara itu, Anwar juga mahu pembangunan baharu di Kuala Lumpur pada masa akan datang perlu menerapkan ciri warisan Melayu kerana ia adalah tunggak pembangunan di bandar raya tersebut.

“Pembangunan Kuala Lumpur harus ada ciri unik, jangan dianggap sebagai hutan konkrit sahaja.

“Bila bicara soal warisan di Tanah Melayu tentunya menjadi tonggak masih warisan Melayu, itu harus ketara dalam pembangunan baru seluruh Kuala Lumpur,” katanya yang menambah pembangunan di Kuala Lumpur tidak sesekali meminggirkan sumbangan dan warisan kaum lain.

Selain pembangunan dan kemajuan di Kuala Lumpur, Anwar juga mahu melihat bandar raya itu bersih terutama kawasan gerai dan warung makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.