HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kerajaan tak cadang laksana program vaksinasi mpox

-

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata tiada perbincangan setakat ini, namun kajian mendalam perlu dibuat terlebih dahulu, jika ada keperluan melaksanakannya.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata tiada kes baharu mpox direkodkan dalam negara setakat ini, namun pihaknya sentiasa memantau perkembangan kes itu. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN:
Kerajaan belum bercadang melaksanakan program vaksinasi bagi penyakit cacar monyet atau mpox untuk rakyat, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata, setakat ini, tiada perbincangan mengenai perkara itu, namun kajian secara mendalam perlu dibuat terlebih dahulu, jika terdapat keperluan melaksanakannya.

“Kalau kita lihat pada garis panduan dan juga cara jangkitan, ia boleh dielak jika individu itu mengambil langkah berhati-hati, umpamanya dengan mengamalkan kebersihan kendiri dan lain-lain.

“Biasanya simptom jangkitan mpox boleh dilihat dengan jelas melalui tanda-tanda fizikal seperti tompok-tompok di badan dan pesakit sendiri boleh merasai kesannya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand ke-34 di sini.

Lukanisman berkata, tiada kes baharu direkodkan dalam negara setakat ini, namun pihaknya sentiasa memantau perkembangan kes itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dari semasa ke semasa.

Menurutnya, tiada halangan untuk rakyat ke luar negara buat masa ini, tetapi perlu sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah perlu bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan kawalan ketat di pintu masuk negara serta sempadan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemasukan pengembara dari luar.

“Setakat ini, proses yang kita lakukan sama seperti ketika pandemik (Covid-19). Semua langkah berjaga-jaga diambil agensi berkenaan, terutama sekali di pintu masuk imigresen, lapangan terbang dan juga sempadan serta kita akan rujuk kepada mereka, jika ada keperluan.”

Sebelum ini, KKM memaklumkan ia sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti pengawasan dan sokongan berkaitan mpox, termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.

Ia selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kepentingan antarabangsa buat kali kedua pada 14 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.