Mereka antara lima suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana dipercayai menyeleweng diesel subsidi bagi nelayan dan disyaki telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta sejak 2012.
Majistret Romaroi Jonoi membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 40-an direman empat hari sehingga 29 Ogos 2024, manakala adik perempuannya berusia sekitar 30-an direman selama sehari sehingga esok selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sibu.
Sumber berkata dua beradik itu ditahan bersama tiga lagi dalam Op Liter oleh Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM di sebuah depoh simpanan minyak diesel di Sungai Bidut, Sibu.
“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.
“Mereka disyaki turut membayar wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah,” katanya.
Menerusi operasi itu, SPRM telah menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel.
Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta susulan tangkapan terhadap kelima-lima suspek berkenaan.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan terhadap dua beradik berkenaan bersama dua lagi lelaki dan wanita dalam operasi semalam.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram