HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Penjelasan konflik 5G Malaysia

-

FMT meninjau lebih dekat mengenai konflik dan isu yang timbul.

0
Shares
Total Views: 1
5g
Pengenalan teknologi 5G bersedia untuk merevolusikan pelbagai sektor tetapi pengkritik memberi amaran rangkaian kedua mungkin membebankan pembayar cukai dan mewujudkan isu lain menjejaskan Digital Nasional Berhad serta syarikat telekomunikasi. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA:
Pengenalan teknologi 5G ditetapkan untuk merevolusikan industri utama seperti penjagaan kesihatan, perniagaan, pembuatan dan infrastruktur pintar, bagi meningkatkan ekonomi Malaysia dengan ketara.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata 5G mampu membolehkan pembedahan dilakukan dari jauh, memudahkan operasi perniagaan dan membolehkan pekerja bekerja bersama dalam masa sebenar di mana sahaja.

Dalam sektor pembuatan, 5G telah pun mempertingkatkan proses pengeluaran melalui penggunaan robotik autonomi, realiti tambahan dan realiti maya.

Bagaimanapun, strategi penggunaan 5G kerajaan mencetuskan pelbagai kebimbangan, dengan pengkritik memberi amaran rangkaian kedua berisiko membazirkan berbilion-bilion wang pembayar cukai disebabkan tidak teratur dan berlaku pertindihan.

Mereka juga mendakwa ia boleh menyebabkan perkhidmatan berkualiti rendah ditawarkan dengan harga lebih tinggi.

FMT meninjau lebih dekat mengenai konflik dan isu yang timbul.

Monopoli kerajaan

Pada 2021, kerajaan menganugerahkan syarikat telekomunikasi Sweden Ericsson kontrak bernilai RM11 bilion untuk membangunkan infrastruktur 5G Malaysia bawah model rangkaian borong tunggal (SWN).

Digital Nasional Berhad, sebuah entiti kerajaan, ditubuhkan untuk membina dan memiliki rangkaian 5G dan menjual akses kepada syarikat telekomunikasi (telco) untuk menyediakan perkhidmatan 5G kepada pengguna.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ketika itu, Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata mempunyai entiti kerajaan untuk mengurus spektrum dan infrastruktur akan mengurangkan kos ditanggung syarikat telekomunikasi, membolehkan mereka menumpukan pada pengembangan rangkaian gentian dan menambah baik perkhidmatan 4G.

Beliau menambah, pendekatan rangkaian tunggal juga akan mengurangkan perbelanjaan dengan mengurangkan kos lelongan dan pertindihan rangkaian di samping menggalakkan perkongsian infrastruktur.

Fadhullah berkata, pendekatan itu berbeza daripada pelancaran 4G yang memerlukan syarikat telekomunikasi membina rangkaian mereka sendiri dan menjual perkhidmatan terus kepada pengguna.

Kebimbangan juga timbul yang model SWN akan mewujudkan monopoli kerajaan, menyekat persaingan dan inovasi serta membawa kepada ketidakcekapan dan kos lebih tinggi untuk pengguna.

Sebagai tindak balas, kerajaan memutuskan untuk melepaskan 70% saham DNB kepada syarikat telekomunikasi bawah perjanjian langganan bersama. Syarikat telekomunikasi secara kolektif akan memegang 70% kepentingan manakala kerajaan mengekalkan bahagian penting sebanyak 30%.

Beralih kepada duopoli

Pada Disember 2022, perdana menteri yang baru mengangkat sumpah Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula strategi pelaksanaan 5G.

Berikutan semakan itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan pada Mei tahun lalu bahawa Putrajaya memutuskan untuk beralih kepada model rangkaian dwi dan memperkenalkan penyedia perkhidmatan 5G kedua – yang akan dipilih melalui proses tender – sebaik sahaja DNB mencapai liputan 80% dalam kawasan berpenduduk.

Beliau berkata, rangkaian kedua itu akan meningkatkan liputan, memupuk persaingan dan memastikan perkhidmatan 5G berpatutan dan berkualiti untuk rakyat.

DNB akan ke mana?

Bagaimanapun, pengkritik mempersoalkan metodologi yang digunakan untuk memilih pemaju rangkaian kedua, mengatakan ia berpotensi menimbulkan konflik kepentingan, amalan antipersaingan dan penggunaan dana awam yang tidak cekap.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, melahirkan kebimbangan terhadap keputusan membenarkan syarikat telekomunikasi yang sudah mempunyai kepentingan dalam DNB memohon untuk membangunkan rangkaian 5G kedua.

Beliau mempertikaikan bahawa syarikat telekomunikasi ini akan mempunyai akses kepada pengetahuan orang dalam tentang operasi DNB, mewujudkan kelebihan yang tidak adil.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata pemaju akan terdedah kepada risiko undang-undang, memetik Seksyen 133 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melarang pemegang lesen daripada mengambil sebarang tindakan yang akan mengurangkan persaingan dalam pasaran komunikasi.

Sementara itu, bekas menteri sains, teknologi dan inovasi Khairy Jamaluddin turut memberi amaran bahawa berbilion wang pembayar cukai akan dibazirkan.

Beliau berkata, peralatan bernilai RM900 juta untuk rangkaian semasa mungkin tidak digunakan dan DNB memerlukan tambahan RM1.6 bilion untuk mengekalkan perkhidmatannya berikutan perubahan spektrum.

Wan Fayhsal juga menyuarakan kebimbangan bahawa rangkaian kedua boleh menyebabkan DNB menjadi ‘gajah putih’, yang mungkin menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan berbilion ringgit dalam bentuk penyelamatan.

Gesaan ‘tangguh’

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, T Saravanan, baru-baru ini menggesa penangguhan strategik dalam pelaksanaan rangkaian 5G kedua untuk membolehkan penilaian semula implikasi kewangan dan memastikan penggunaan kos efektif.

Beliau memberi amaran jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar boleh melebar jika rangkaian kedua mengutamakan wilayah yang lebih menguntungkan.

Mohamed Awang Lah, bekas ketua eksekutif penyedia internet pertama Malaysia, Jaring, menggesa kerajaan menghentikan rancangan menyediakan rangkaian 5G kedua.

“Jika DNB mahu kekal seperti sedia ada, maka tidak sepatutnya ada pengendali kedua — hanya satu pengendali. Syarikat telekomunikasi tidak sepatutnya menjadi pemegang saham DNB. DNB harus berdiri sendiri dan bersikap neutral,” katanya kepada FMT.

Beliau mencadangkan kerajaan mengutip yuran daripada pengendali rangkaian mudah alih untuk mendapatkan balik pelaburannya.

Dalam pada itu, bekas CEO syarikat telekomunikasi yang enggan namanya didedahkan mengesyorkan kerajaan melepaskan sahamnya dalam DNB dan menjual kepada syarikat utiliti tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pengendali rangkaian mudah alih.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengelak risiko memiliki rangkaian 5G kerana kesan ditimbulkan oleh teknologi yang berkembang pesat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.