HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

1MDB sambut baik sabitan 2 eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland

-

Jurucakap berkata 1MDB akan meneruskan tindakan undang-undang di peringkat global untuk mendapatkan semula dana negara yang dicuri.

5
Shares
Total Views: 295
1MDB
Dua eksekutif PetroSaudi, Patrick Mahony dan Tarek Obaid disabitkan dengan kesalahan menggelapkan lebih USD1.8 bilion dari 1MDB. (Gambar AP)

PETALING JAYA:
Lembaga pengarah 1MDB menyambut baik sabitan mahkamah Switzerland terhadap dua eksekutif PetroSaudi atas tuduhan menggelapkan berbilion ringgit daripada dana syarikat tersebut.

Jurucakap lembaga itu berkata 1MDB secara aktif menyokong pendakwa raya Switzerland sepanjang siasatan dan perbicaraan, termasuk dengan membuat aduan jenayah dan memberikan bukti untuk memastikan aset dikembalikan kepada negara.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Switzerland atas siasatan mereka yang teliti, yang memastikan sabitan ini,” kata jurucakap itu dalam kenyataan malam tadi.

“Kami juga menyambut baik perintah rampasan dan pengembalian wang serta aset. Pemulihan ini dicapai dalam sebahagian strategi pemulihan pelbagai disiplin untuk menyokong dan menambah usaha rampasan jenayah yang sedang berlangsung.”

Jurucakap itu juga menegaskan ahli lembaga 1MDB akan terus mengambil tindakan undang-undang di peringkat global terhadap individu yang terlibat dalam penyelewengan dana negara tersebut.

“Keputusan ini merupakan satu lagi langkah ke arah memulihkan kemudaratan yang dilakukan terhadap rakyat Malaysia.

“Kami akan terus menjejak mereka yang bertanggungjawab atas rompakan 1MDB dan mendapatkan semula aset negara yang sah, di mana jua mereka berada.”

Semalam, mahkamah jenayah persekutuan Switzerland mensabitkan kesalahan Patrick Mahony, seorang warga Switzerland-British, dan Tarek Obaid, seorang warga Swiss-Saudi, yang dituduh menggelapkan lebih USD1.8 bilion daripada 1MDB.

Pendakwa raya mendakwa Mahony dan Obaid membantu menubuhkan usaha sama dengan 1MDB dengan mewujudkan tanggapan bahawa syarikat mereka, PetroSaudi, disokong oleh kerajaan Saudi.

Obaid dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh mahkamah, manakala Mahony menerima hukuman enam tahun.

Mahkamah juga mengarahkan aset mereka dirampas, termasuk hartanah dan dana yang disimpan dalam pelbagai akaun bank, yang berjumlah lebih daripada USD240 juta.

Aset-aset ini akan dikembalikan kepada 1MDB sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mendapatkan dana yang dicuri dalam skandal tersebut.

Keputusan ini adalah episod terkini dalam skandal 1MDB, satu kisah rasuah antarabangsa yang memberi kesan kepada pelbagai institusi kewangan dan individu di seluruh dunia sejak tuduhan salah laku mula timbul pada 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.