
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara berkata cadangan itu mengetengahkan mesej ‘autonomi’, maka parti dari Semenanjung akan terpaksa menunjukkan komitmen dan solidariti dengan gabungan parti-parti tempatan.
“Dalam erti kata lain, GRS memberi gambaran bahawa untuk kerjasama politik di Sabah, parti-parti luar GRS termasuk Pakatan Harapan perlu terima dan bersetuju untuk menggunakan logo gabungan itu,” katanya kepada FMT.
Timbalan Pengerusi GRS Jeffrey Kitingan pada Khamis mencadangkan semua parti yang bekerjasama dengan GRS bertanding menggunakan logo gabungan itu pada PRN akan datang, bagi melambangkan ‘bersatu padu’.
Pada PRN lalu, PKR bertanding atas lambang sendiri, manakala DAP bertanding bawah logo Warisan, sebuah parti tempatan pimpinan bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal.
GRS pimpinan ketua menteri semasa, Hajiji Noor, dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Maju Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Baru) atau Usno (Baru), Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik, dan Parti Cinta Sabah.
Mengulas manfaat di sebalik cadangan itu, Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah berkata ia akan membolehkan GRS mendapat pengaruh, manakala parti dari Semenanjung boleh bergantung harap pada pengaruh tersebut.
Mengambil contoh PKR, beliau percaya ia akan membantu parti nasional itu mempertahankan DUN Inanam dan Api-Api.
“Peluang untuk PKR menang semua kedua-dua kerusi itu cerah sekiranya dapat mengekalkan sokongan akar umbi dan pada masa sama dapat membidas sentimen lokal yang ‘bertiup kuat’ dalam kalangan parti tempatan,” katanya.
Pada PRN 2020, meskipun menang dengan kelebihan undi yang selesa, PKR dicabar oleh sembilan entiti tempatan di Inanam dan lapan di Api-Api.
Cadangan Kitingan tempoh hari menyusuli gesaan Presiden Usno (Baru), Pandikar Amin Mulia, agar parti berpangkalan di Semenanjung membiarkan parti tempatan bertanding pada PRN akan datang.
Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Christina Liew, berkata pihaknya akan mempertimbangkan semua pilihan yang ada namun keputusan muktamad bergantung kepada keputusan setiap parti di dalam PH.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram