
Ketua Polis Alor Gajah, Ashari Abu Samah, berkata wanita tersebut yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak ditahan di taska itu pada 3.30 petang, bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada seorang wanita di wad kecemasan Hospital Alor Gajah, memaklumkan menerima pesakit bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Menurut siasatan awal bayi tersebut dihantar oleh ibu dan datuknya sekitar 7.05 pagi, sebelum ibu mangsa mendapat panggilan daripada taska memberitahu tubuh badan mangsa berkeadaan biru dan hidungnya berdarah serta mangsa dalam keadaan terkulai.
“Mangsa terus dibawa ke Hospital Alor Gajah dan doktor mengesahkan kematiannya sebelum bedah siasat dilakukan sekitar 6 petang,” katanya menurut Bernama.
Sementara itu, bapa bayi Mohd Fikry Amri Abd Halim yang berpangkat mejar tentera, 39, berkata anaknya baru lima hari dihantar ke taska berkenaan.
Beliau berkata, ketika isterinya Sabrina Hakiem Zaini, 39, tiba di pusat asuhan selepas dihubungi pihak taska, wanita itu mendapati anaknya sudah terkulai dalam keadaan mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.
Lebih menyayat hati pasangan tersebut sudah menunggu 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata dan tidak sangka ia berlaku selepas isterinya mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak.
“Baru lima hari hantar dan ini yang terjadi,” katanya.
Beliau yang bertugas di Kem Perdana Sungai Besi Kuala Lumpur berkata apa yang lebih mengejutkannya, pusat asuhan tersebut tidak mempunyai lesen meskipun sudah empat tahun beroperasi.
“Memang terkejut kerana selama ini saya ingat pusat asuhan itu ada lesen tapi apabila disoal siasat polis, rupanya tak ada dan itu yang amat saya terkilan,” katanya di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, malam tadi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram