Presiden Usbo, Salleh Said Keruak, berkata tarikh itu melambangkan asas pentadbiran moden Sabah yang bermula dengan penubuhan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British.
“Hari Pembentukan Sabah adalah peluang untuk kita menghargai sejarah bersama sambil menantikan masa depan yang cerah untuk semua rakyat Sabah,” katanya dalam catatan Facebook.
Bekas ketua menteri itu berkata, acara berkenaan akan memaparkan sejarah, warisan budaya dan pembangunan Sabah yang kaya.
“Acara ini akan menampilkan persembahan budaya, pameran serta aktiviti libat urus komuniti yang mengetengahkan perpaduan dan kemajuan Sabah sepanjang 143 tahun lalu.”
Adun Usukan itu berkata, acara berkenaan juga akan mengiktiraf sumbangan pelbagai komuniti Bumiputera Islam di Sabah, termasuk Bajau, Ubian, Melayu, Iranun dan Suluk terhadap evolusi sejarah dan budaya negeri.
Di bawah Syarikat Borneo Utara British, Sabah ditadbir sebagai negeri naungan British.
Gabenor pertamanya ialah William Clarke Cowie yang dilantik pada 1881. Peranannya dan penggantinya ialah menguruskan tanah jajahan, memastikan pelaksanaan dasar syarikat serta menyelia pembangunan infrastruktur, sistem ekonomi dan sosial di Sabah.
Julai lalu, media melaporkan kerajaan negeri mewartakan 31 Ogos sebagai Hari Sabah.
Sabah yang ketika itu dikenali Borneo Utara British diberikan pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963, di mana negeri itu menganggap ia sebagai hari kemerdekaannya. Sabah menyertai persekutuan Malaya, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 16 Sept tahun sama.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram