HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tak perlu agresif nak raih sokongan Melayu, kata penganalisis

-

Umno tetap menang besar pada pilihan raya, seperti yang berlaku di Nenggiri, tanpa isu kontroversi, kata Mazlan Ali.

5
Shares
Total Views: 896
Akmal Saleh and Teresa Kok
Tidak salah Dr Akmal Saleh mengkritik Teresa Kok atas kenyataannya berhubung pensijilan halal, tetapi keterlaluan apabila menggelarnya dengan nama yang tidak baik, kata penganalisis.

PETALING JAYA:
Seorang penganalisis menyifatkan tindak balas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh baru-baru ini terhadap kenyataan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal sebagai keterlaluan, dan berkata, tindakan agresif tidak perlu untuk meraih sokongan Melayu.

Isu itu timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar mendedahkan pada awal bulan ini bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbangkan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan penyedia makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Membantah langkah itu, Kok berkata, kerajaan seharusnya membenarkan pengusaha memutuskan sendiri sama ada hendak mendapatkan sijil halal atau tidak, bukannya memaksa.

Akmal yang juga Adun Merlimau bertindak balas dengan menggelar Kok ‘nyonya tua’ dan berkata Ahli Parlimen Seputeh itu memalukan negara. Akmal juga memberitahu Kok agar tidak bercakap mengenai perkara yang berkaitan dengan Islam.

Mengulas respons Akmal, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, tindakan Akmal boleh menjejaskan prestasi Umno pada PRK Mahkota akan datang.

Katanya, walaupun segelintir orang Melayu mungkin cenderung menyokong ahli politik yang dilihat tegas mempertahankan kaum dan agama, yang lain mungkin akan berasa tidak senang dengan tindakan agresif yang tidak wajar dan taktik mengumpan ketidakharmonian kaum.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

“Pada PRK Nenggiri, tiada isu hangat seperti yang dibangkitkan ketua Pemuda Umno itu,” katanya kepada FMT, merujuk kepada isu pensijilan halal.

“Tetapi Umno tetap menang besar. Ini bermakna, walaupun tanpa isu kontroversi, Umno masih boleh menang. Tidak perlu guna pendekatan agresif untuk memenangi (hati) pengundi Melayu.”

Mazlan berkata, sikap terlalu agresif mungkin akan menjauhkan pengundi bukan Melayu. Kira-kira 35% pengundi DUN Mahkota terdiri daripada kaum Cina, kebanyakannya mungkin penyokong DAP, katanya.

“Kritikan ketua Pemuda Umno itu terhadap Kok agak keterlaluan dan boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong DAP,” katanya.

Mazlan menjelaskan, kenyataan Kok hanya menyentuh beban kewangan yang akan ditanggung oleh peniaga kecil akibat syarat itu, bukannya bantahan terang-terangan terhadap keperluan pensijilan halal.

“Tiada masalah mengkritik, tetapi keterlaluan menggelarnya (Kok) ‘nyonya tua’.”

‘Tiada siapa menang’

Azmil Tayeb
Azmil Tayeb.

Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia bersetuju dengan berkata, ‘serangan’ sedemikian akan mengecewakan golongan bukan Melayu dan mengakibatkan mereka percaya kerajaan sekali lagi mengabaikan kepentingan mereka.

Katanya, perkara ini boleh menyebabkan keadaan pada PRK Sungai Bakap berulang, iaitu peratusan keluar mengundi bukan Melayu rendah menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) dengan 4,267 undi.

“Tiada siapa yang menang dalam perbalahan ini (antara Akmal dengan Kok). Orang Melayu tidak akan berpusu-pusu menyokong Umno dan orang bukan Melayu akan berasa DAP tidak cukup melindungi kepentingan mereka dalam kerajaan,” katanya.

Azmil mengakui jaminan oleh Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching bahawa tindakan Akmal tidak akan menghalang kerjasama parti itu dengan Umno pada PRK Mahkota, namun katanya, ini mungkin tidak mencerminkan realiti pada peringkat akar umbi.

“Jika ikut PRK Sungai Bakap, pandangan ini tidak dikongsi oleh ahli akar umbi di lapangan. Umno tidak mahu DAP di kawasan Melayu, begitu juga sebaliknya.

“Isu halal, antara lain, hanya akan melebarkan jurang ini,” katanya.

Pandangan peribadi Akmal

Mazlan bagaimanapun tidak bersetuju dengan berkata, Akmal kelihatan seperti satu-satunya tokoh Umno yang tersinggung dengan kenyataan Kok, sedangkan tiada pemimpin Umno lain mengecam Kok.

Katanya, DAP juga tidak terganggu dengan kejadian itu.

Mazlan berkata, ini menunjukkan komponen PH tidak melihat tindakan Akmal sebagai mewakili pendirian Umno dalam perkara itu, sekadar mencerminkan pandangan peribadinya.

“Mereka tidak melihat Umno ‘serang’ DAP. Bagi saya, hubungan antara Umno dan DAP berada pada tahap yang sangat baik pada masa ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, PN boleh mendapat manfaat daripada perbalahan itu dengan memberitahu pengundi, ia mendedahkan perpecahan antara dua komponen utama kerajaan perpaduan.

“Ini boleh menyebabkan peralihan sokongan (kepada PN) atau mengakibatkan pengundi DAP dan Umno tidak keluar mengundi,” kata Mazlan.

PRK DUN Mahkota di Johor akan berlangsung pada 28 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.