
Ketuanya, Ahmad Yahya berkata Dewan Ulama sentiasa memerhati dan menegur pemimpin mereka yang melakukan kemungkaran.
Jelasnya, aktiviti seperti menyanyi dan bersukan boleh dilakukan selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.
“Pemimpin berkaraoke, Kedah (yang) dipanggil ‘ashabul karaoke’, kita dah faham nak tuju pada menteri besar Kedah.
“Dia kata saya pertahankan kawan-kawan. Saya lama berkawan dengan menteri besar Kedah. Dewan Ulama perhati dan tengok, mana bukan perkara mungkar,” katanya ketika dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur.
Selain mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad juga merupakan ketua PAS Kedah, manakala Sanusi timbalannya.
Ahmad berkata, mungkar adalah perkara disepakati dosa.
“Perbuatan yang ditegah selagi tak disepakati, Dewan Ulama PAS tak adalah sampai pertahan cuma (kena) adillah,” katanya.
Semalam, seorang pembahas PAS dari Perlis menyatakan kesedihan mengenai kualiti pemimpin partinya, kerana tidak bertindak terhadap individu tertentu.
Mohd Saifizi Saidon berkata, ada pemimpin yang bersalaman dengan wanita ‘berkali-kali’ tidak diambil tindakan, malah yang karaoke dipertahankan.
Bagaimanapun, Saifizi tidak menyebut nama secara spesifik pemimpin dikritik itu.
Sementara itu, Ahmad berkata Sanusi juga membaca al-Quran dalam majlis perasmian Festival al-Quran.
“Bukan saja di padang bola, kabadi, apa saja yang diminta oleh rakyat selagi tidak bercanggah…selagi tidak bercanggah dengan agama akan disambut.
“Saya nak gambarkan inilah sikap dan pendirian yang diambil Dewan Ulama, kita tidak mempertahankan secara membuta-tuli,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram