![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F09%2F22ab6be4-kemalangan-jbpm-pic-230924-1.webp&w=3840&q=75)
Ketua Polis Kuala Lipis, Ismail Man, berkata kejadian sekitar 2.35 pagi itu menyebabkan pemandu treler rosak, Mohd Izani Mohd Yusoff, 31, dan pemandu treler yang menghulurkan pertolongan, Mohd Aizad Rosdi, 27, bersama kelindannya, Rushaidee Rusli, 22, maut di lokasi kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda dari arah sama hilang kawalan dan melanggar bucu kiri belakang treler rosak, sebelum melanggar mangsa sedang membaiki kenderaan itu.
“Pemandu treler bersama kelindannya dalam perjalanan dari Tanah Merah, Kelantan menghala Selangor untuk menghantar kayu mengalami kerosakan brek dan berhenti di bahu jalan lorong susur keluar dari Kampung Merapoh.
“Kemudian, sebuah treler dari syarikat sama berhenti di depan kenderaan mangsa untuk memberikan bantuan. Semasa kerja membaiki dilakukan, tiba-tiba Toyota Hilux hilang kawalan dan melanggar bucu kiri belakang treler yang rosak dan merempuh empat mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pemandu pacuan empat roda Mohd Khairul Azhar Mohd Nor dan kelindan treler rosak Wan Muhammad Syafiq Wan Hanafi turut parah serta dihantar ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram