HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Seminggu banjir di Kedah, hampir 8,000 mangsa masih di PPS

-

Semua mereka yang terdiri daripada 2,567 keluarga, melibatkan penduduk di lima daerah di negeri itu.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Banjir di beberapa daerah di Kedah sejak seminggu lalu menyebabkan seramai 7,958 mangsa banjir masih berada di 37 pusat pemindahan sementara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Seramai 7,958 mangsa banjir masih berada di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, setakat 9 pagi tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mereka yang terdiri daripada 2,567 keluarga, melibatkan penduduk di lima daerah di negeri itu.

Kota Setar merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,397 orang, diikuti Pendang (1,604), Kubang Pasu (619), Pokok Sena (219) dan Bandar Baharu (119).

Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan, dua sungai masih berada pada paras bahaya iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 29 orang daripada tujuh keluarga setakat 8 pagi tadi yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak di Kerian.

JPS memaklumkan Sungai Perak di Pasang Api, Bagan Datuk berada pada tahap amaran dengan paras air setinggi 2.22m, manakala Kolam Air Bukit Merah di Kerian masih pada tahap berjaga-jaga dengan paras air setinggi 9.01m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut di semua daerah di Perak pada petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.