HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pemimpin Bersatu cabar Anwar bubar Parlimen, uji mandat pada pilihan raya

-

Razali Idris dari Bersatu mendesak Anwar Ibrahim supaya membubarkan Parlimen segera untuk menguji sokongan terhadap pentadbirannya.

21
Shares
Total Views: 3,411
voting
Sebanyak RM725 juta dibelanjakan untuk mengadakan PRU15 pada 2022, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen segera untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mendakwa pilihan raya kilat disifatkan jalan terbaik mengukur sokongan kerajaan hari ini, bukan usul tidak percaya di Dewan Rakyat seperti gesaan Anwar kepada pembangkang, Jumaat lalu.

Free Malaysia Today
Razali Idris.

“Kalau betul-betul nak dapatkan mandat sahih maka PMX (Anwar) segera bubar Parlimen kerana yang mutlak memilih adalah rakyat jelata bukan Ahli Parlimen,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Anwar mencabar pembangkang mengikut undang-undang dan proses betul dengan membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Cabaran itu susulan usul diluluskan pada Muktamar Pemuda PAS, 12 Sept lalu supaya Anwar meletak jawatan atau diturunkan segera.

Ini bukan kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional (PN) membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat. Cabaran sama pernah dibuat pada 11 Jan tahun ini dan 6 Mei tahun lalu.

Gesaan kerajaan memendekkan tempoh penggal ke-15 Parlimen yang hanya tamat Disember 2027 untuk memberi laluan pilihan raya pernah disuarakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jan lalu untuk menguji sokongan Anwar sebagai perdana menteri.

Anwar dilantik perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022, selepas mendapat sokongan majoriti dalam kerajaan perpaduan terdiri Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan parti lain.

Bagaimanapun bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar menyifatkan gesaan Mahathir itu sebagai tidak bijak kerana perlu menanggung kos besar untuk mengadakan pilihan raya kilat, kurang dua tahun selepas PRU15.

Mengikut SPR, PRU15 menelan belanja RM725 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.