
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Mohammad Fahmi Ngah berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk menyediakan kaedah terbabit
bagi memudahkan orang ramai menyumbang demi kemajuan Islam mengikut syarak.
“Ini akan memastikan sumbangan umat Islam yang berniat baik dan ikhlas tidak disalahgunakan mana-mana pihak ingin mengambil kesempatan atas dasar simpati serta agama,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini media melaporkan GISBH disiasat kerana mengeksploitasi kanak-kanak melalui penubuhan rumah amal serta kebajikan bagi tujuan kutipan derma.
Menerusi Op Global dilancarkan 11 Sept lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan.
Fahmi berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga telah bertindak segera terhadap salah laku organisasi terbabit termasuk dengan menubuhkan jawatankuasa khas.
Menurutnya, Jais juga menyiasat 612 individu di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dengan 386 individu diklasifikasi sebagai mangsa diselamatkan, 184 individu sebagai orang disyaki manakala 42 individu masih menunggu pengesahan polis.
Jelasnya, setakat ini lebih 100 orang disyaki telah ditangkap Jais untuk disiasat dan dirakam percakapan bagi siasatan.
“Siasatan mengikut Seksyen 7,8,10,12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 106 dan 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016, serta di bawah Seksyen 40 dan 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
“Jawatankuasa juga telah melantik 8 pegawai penyiasat (IO) khas untuk meneruskan siasatan beberapa kes penting melibatkan individu berprofil tinggi dalam GISBH,” katanya.
Katanya, semua sekolah di bawah GISBH juga telah ditutup selain pengambilalihan pengurusan Masjid Cahaya Iman dan menutup Surau Al-Ikhwan yang kedua-duanya di Bandar Country Homes, Rawang.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram