
MoU tersebut ditandatangani di Beijing secara bersama oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dengan Menteri Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional China (NRTA), Cao Shumin, bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang media serta penyiaran.
Fahmi berkata, fokus akan diberikan kepada kandungan menonjolkan budaya, pelancongan dan makanan kedua-dua negara.
“Saya sudah minta Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan perbincangan dengan agensi yang sejawat dengan RTM supaya kita boleh, yang akan mempengerusikan Asean, mengambil kesempatan menonjolkan Malaysia termasuk kepada penonton di China, juga mengambil kesempatan sempena program Tahun Melawat Malaysia 2026.”
Fahmi yang kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke China bermula hari ini berkata demikian selepas menghadiri Majlis Resepsi dihoskan Kedutaan Malaysia di China.
Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Cao di ibu pejabat agensi itu dan membincangkan pelbagai perkara melibatkan kepentingan bersama dalam bidang penyiaran.
Fahmi berharap melalui MoU itu, lebih banyak kerjasama dalam penghasilan kandungan kreatif dapat dicapai, selain penganjuran pelbagai aktiviti dan program bagi mengeratkan lagi persahabatan kedua-dua negara yang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini.
Katanya, beliau melihat beberapa format kandungan boleh dihasilkan kedua-dua negara.
“Kita ada macam-macam format, memang kalau dari segi drama, kisah cinta, dokumentari, travelog dan foodvlog, saya nampak ada banyak peluang, terutama di kawasan Xi’an yang majoriti Muslim, bayangkan jumlah rakyat Cina beragama Islam itu jumlahnya sangat besar.
“Ini satu pasaran yang saya rasa kita di Malaysia harus kenal pasti dan tonjolkan supaya mereka juga berminat datang ke Malaysia.”
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyuarakan minat berhubung trend baharu “micro drama” kurang seminit yang sangat diminati di China kini, untuk dipelajari Malaysia.
“Saya difahamkan sudah mula beberapa penonton, termasuk di Malaysia yang mengikuti format drama ini, iaitu drama yang tempohnya mungkin dalam satu minit, kadang-kadang kurang satu minit dan ia sangat sesuai untuk ‘time’ pergi kerja, balik kerja, rehat sekejap, ini format yang menarik.”
Mengenai lawatan itu, Fahmi berkata, kehadiran beliau dan delegasinya diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan sektor telekomunikasi serta teknologi baharu seperti satelit bagi meningkatkan kesalinghubungan negara.
Fahmi dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanlong petang ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram