HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Polis seru premis GISBH di Sabah, Sarawak digeledah

-

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis akan memberi bantuan penuh kepada agensi berkaitan.

0
Shares
Total Views: 1
GISBH RAWANG-SITA
Polis akan terus kenal pasti individu terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan walaupun premis GISBH di Sabah dan Sarawak tidak lagi beroperasi.

PETALING JAYA:
Polis mencadangkan tindakan geledah dan sita terhadap premis berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Sabah dan Sarawak selepas mendapati premis berkenaan tidak lagi beroperasi.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata polis akan memberi bantuan sepenuhnya kepada agensi berkaitan melalui undang-undang dan peruntukan sedia ada di kedua-dua negeri itu bagi tindakan geledah.

“Polis telah mengadakan mesyuarat bersama agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan terhadap GISBH bagi meneliti situasi semasa pengoperasian premis organisasi tersebut di Sabah dan Sarawak.

“Walaupun premis-premis ini didapati tidak beroperasi, polis akan terus memantau bagi memastikan individu yang terlibat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya menurut Bernama memetik kenyataan.

Mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Menurut Razarudin, tindakan geledah dan sita di Sabah boleh dilakukan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 3/1995 dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993, manakala di Sarawak mengikut Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, polis telah memperoleh lanjutan reman selama lima hari, bermula esok sehingga Selasa depan, terhadap tujuh suspek berkaitan GISBH yang ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Mengenai 10 laporan polis yang mendakwa pekerja di premis GISBH tidak dibayar gaji, beliau berkata bahawa siasatan akan dijalankan bagi meneliti pendakwaan yang boleh diambil.

“Polis menyeru ahli atau pengikut GISBH untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan komprehensif terhadap organisasi ini,” katanya.

Semalam, dilaporkan polis menerima 10 laporan daripada pekerja GISBH yang mendakwa tidak dibayar gaji ketika bekerja di Miri, Sarawak; Rawang, Selangor, dan Alor Setar, Kedah, membabitkan mangsa berusia 14 hingga 20 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.