HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Hampir 5,000 peserta rentas fahaman politik sertai Larian Keluarga Malaysia

-

Selain pemimpin kerajaan, larian amal itu turut disertai pemimpin DAP, pembangkang serta bekas atlet negara.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
(Dari kiri) Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin turut menyertai Larian Keluarga Malaysia di Cyberjaya.

CYBERJAYA:
Hampir 5,000 peserta berbilang kaum, agama dan merentas fahaman politik menyertai Larian Keluarga Malaysia di sini yang julung kali diadakan.

Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Ismail Sabri Yaakob, berkata selain pemimpin kerajaan, acara itu turut disertai pemimpin DAP, pembangkang serta bekas atlet negara.

“Ia merentasi semua, tak kira agama, bangsa, parti politik apa pun kita terbuka. Ahli politik pembangkang juga datang sertai larian, kita Keluarga Malaysia.

“Ini menggambarkan Keluarga Malaysia sebenar. Jadi, ini bukan saja larian, tetapi hari keluarga,” katanya selepas menyertai larian 5km.

Free Malaysia Today
Larian Keluarga Malaysia julung kali diadakan hari ini di Cyberjaya.

Antara yang menyertai larian itu bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, bekas menteri sains, teknologi dan inovasi Dr Adham Baba, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) Acryl Sani Abdullah Sani, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.

Hadir sama atlet dan bekas atlet seperti Goh Liu Ying, Santokh Singh, K Rajagobal, Abdul Malek Mohamed Noor serta Zainal Abidin Hassan.

Larian itu turut disertai peserta dari 10 negara antaranya Jepun, Indonesia, Mesir, Kenya, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu 5km (fun run), 10km (race) dan 21km (half marathon) yang bermula seawal 6.30 pagi.

Free Malaysia Today
Antara peserta mengambil bahagian dalam Larian Keluarga Malaysia.

Ismail yang juga bekas perdana menteri berkata, hasil kutipan daripada larian amal itu akan disalurkan kepada lebih 1,000 anak yatim Covid-19 bawah kendalian YKM untuk pendidikan dan kebajikan, yang memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5 juta setahun.

Katanya, selain sumbangan masyarakat awam YKM juga mendapat dana RM5 juta setahun daripada kerajaan.

“Kerajaan memang bagi kita RM5 juta setahun, tapi belum bagi penuh lagi. Dalam masa sama, kita juga berusaha menambah dana itu sendiri sebab semakin besar anak-anak yatim piatu ini, semakin besar perbelanjaan yang akan kita gunakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.